GUA MUSANG – Seorang ibu tunggal bersama empat anak lelakinya yang hidup dalam keadaan serba kekurangan di sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek di sini merayu simpati orang ramai untuk membantu membaik pulih rumahnya.
Faizatul Akma Azmi, 34, berkata, dia telah beberapa kali memohon bantuan, namun sehingga kini tiada sebarang tindak balas daripada pihak berwajib.
Lebih menyedihkan katanya, rumah yang dihuni bersama keluarganya itu bukan sahaja dalam keadaan separuh usang, malah turut rosak pada bahagian dinding, lantai dapur dan bilik air.
“Apabila berlaku ribut dan hujan lebat, bahagian dapur rumah ini akan basah akibat dinding uzur.
“Anak saya juga pernah disengat lipan dan rumah juga kerap dimasuki haiwan berbisa seperti ular,” katanya.
Faizatul Akma yang bercerai sejak setahun lalu berkata, dia kini hanya mengambil upah dengan menjual pakaian.
Bagaimanapun katanya, upah yang diperoleh itu tidak cukup untuk perbelanjaan empat anak lelakinya berusia empat hingga 14 tahun.
“Disebabkan kekangan hidup, saya tidak mampu membaik pulih bahagian dapur dan bilik air yang hanya menunggu masa untuk roboh,” katanya.
Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Faizatul Akma di talian 017-957 1267.