PETALING JAYA – Selepas isu pakaian ketat, penyanyi Nabila Razali sekali lagi ditegur peminatnya gara-gara memuat naik foto menampakkan bahagian auratnya walaupun membawakan imej wanita berhijab.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Nabila, 29, berkongsi beberapa keping foto ketika sedang bersantai sewaktu bercuti.
“Tenang ribut jiwa,” tulis pemilik nama penuh Nur Nabila Mohd Razali itu dalam ruangan kapsyen foto tersebut.
Bagaimanapun, foto pelantun lagu Peluang Kedua yang dipercayai diambil ketika bercuti di Pulau Langkawi, Kedah itu menerima teguran peminat selepas Nabila mempamerkan bahagian lehernya walaupun memakai hijab.
Beberapa komen yang ditinggalkan peminat menegur penyanyi dan juga bergelar pelakon itu supaya memakai hijab dengan sempurna dan menutup bahagian lehernya.
“Bella (panggilannya) tutup leher ya comel,” tegur seorang peminatnya.
“Pakai tudung tutup leher awak,” kata seorang lagi peminatnya.
“Leher itu aurat. Tutup aurat awak,” tulis seorang lagi pengguna Instagram.
Bukan itu sahaja, peminatnya juga melahirkan rasa bimbang apabila melihat keadaan penyanyi itu kelihatan pucat seperti tidak sihat.
“Kenapa Bella nampak pucat?” soal seorang pengikutnya.
Sebelum ini, Nabila pernah dikecam peminat selepas berkongsi foto memakai baju renang ketika melakukan aktiviti riadah di laut.
Namun Nabila berkata, dia akan meminta kebenaran daripada ibunya, Shamsidah Abd. Rahman terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perkongsian termasuk gambar dalam media sosial.
Menurutnya, dia tidak akan memuat naik sebarang kandungan sekiranya tidak mendapat keizinan daripada orang tuanya agar tindakannya itu nanti tidak melanggar sensitiviti umum. – KOSMO! ONLINE