LONDON – Penjaga gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris terpaksa diketepikan daripada skuad Perancis untuk dua aksi Liga Negara-Negara Eropah bulan ini kerana masalah kecederaan.
Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) mengesahkan Lloris mengalami kecederaan paha kanan, sekali gus terlepas perlawanan menentang Austria di Stade de France pada Jumaat ini diikuti Denmark di Copenhagen tiga hari kemudian.
Kapten Les Bleus itu dipercayai mengalami kecederaan tersebut sewaktu membantu Spurs membelasah Leicester City 6-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.
Pengendali Perancis, Didier Deschamps terpaksa memanggil penjaga gol Nantes, Albert Lafont untuk mengisi kekosongan ditinggalkan penjaga gol berusia 35 tahun itu.
Bukan sahaja Lloris tetapi Deschamps turut kehilangan seorang lagi watak penting iaitu tonggak pertahanan AC Milan, Theo Hernandez yang kini digantikan oleh bek kiri Aston Villa, Lucas Digne.
Ketiadaan Lloris dan Hernandez semestinya meresahkan Deschamps memandangkan juara Piala Dunia 2018 itu ketika ini berada pada tangga tercorot Kumpulan A1 dengan hanya dua mata daripada empat perlawanan.
Lloris dikatakan tidak akan mengambil masa yang begitu lama untuk pulih 100 peratus dan dijangka sempat kembali bersama Perancis menghadapi Piala Dunia Qatar 2022 bermula awal November depan.
Kehadiran Lloris amat penting kerana Les Bleus bakal berdepan Australia, Denmark dan Tunisia dalam saingan Kumpulan D di Qatar hujung tahun ini.
Bagaimanapun, kecederaan itu meresahkan kem Spurs kerana Lloris berkemungkinan tidak sempat pulih sebelum derbi utara London menentang Arsenal pada saingan EPL di Emirates pada 1 Oktober nanti. – AGENSI