SINGAPURA – Seorang pemilik sebuah syarikat menjadi mangsa kecaman netizen di Singapura selepas menolak mentah-mentah permintaan seorang pelajar latihan industri yang mencadangkan agar sesi temu duga mereka dilakukan secara online, lapor portal berita Coconuts semalam.
Jeffrey Koh yang memiliki sebuah agensi rekaan alat permainan, berkongsi tangkap layar perbualannya bersama seorang wanita dikenali sebagai Sarah.
Dia pada awalnya meminta Sarah datang ke pejabatnya untuk ditemu duga sebelum wanita yang difahamkan mahu menjalani latihan industri itu bertanyakan sama ada sesi tersebut boleh berlangsung secara online.
“Katakan sahaja saya seorang yang kolot, namun saya benar-benar berpendapat bahawa masa depan kita telah musnah.
“Sarah menjadi penyebab mengapa saya lebih memilih untuk menggaji warganegara asing yang benar-benar mahu bekerja di sini (Singapura),” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tangkap layar mesej antara Jeffrey dan Sarah memaparkan wanita itu pada awalnya bersetuju untuk pergi ke pejabat lelaki berkenaan.
Beberapa minit kemudian, dia menghantar pesanan baharu dengan bertanyakan sama ada sesi temu duga boleh dilakukan secara online.
Pertanyaan itu disambut dengan jawapan berbaur kemarahan daripada Jeffrey yang terus membatalkan sesi temu duga dengan Sarah.
Hantaran tersebut menjadi tular dengan sebilangan netizen mengecam serta tidak kurang juga yang mempertahankan tindakan Jeffrey.
“Dia bertanya secara sopan, tidak bolehkah anda menjawab secara profesional? Saya pasti persekitaran bekerja di syarikat anda dipenuhi dengan elemen toksik apabila anda menjawab begitu,” kata seorang netizen.
“Sejujurnya, jika seseorang benar-benar serius mahu bekerja dengan syarikat anda, dia akan berusaha pergi ke pejabat untuk temu duga ,” kata seorang pengguna lain yang menyokong tindakan Jeffrey. – Agensi