ARAGON – Pelumba Aprilia, Aleix Espargaro tidak berputus asa dan yakin dirinya mampu bersaing sehingga akhir musim terutama dalam pemburuan gelaran dunia MotoGP.
Espargaro kini berada di kedudukan ketiga keseluruan dan hanya dipisahkan 17 mata dengan pendahulu saingan, Fabio Quartararo (Yamaha) dan 10 mata di belakang Frencesco Bagnaia (Ducati).
Pelumba berusia 33 tahun mahu memberi tumpuan dalam baki lima pusingan musim ini bagi mencerahkan peluangnya untuk merangkul gelaran MotoGP sulungnya.
“Saya tidak pernah hilang kepercayaan dan sentiasa yakin mampu melakukan yang terbaik meskipun akan berdepan kesukaran pada baki perlumbaan.
“Saya cuba untuk tidak menduduki tempat ke-15 atau gagal menamatkan perlumbaan sebelum ini. Saya sentiasa berada dalam lima atau enam teratas. Inilah yang membuatkan saya bangga terutama bersaingan merebut gelaran utama.
“Jadi, sekarang saya hanya cuba menikmatinya dan melakukan perkara yang sama pada perlumbaan seterusnya.
“Saya tahu ia bukan mudah kerana sekarang kita akan ke litar berbeza jauh dari Eropah dan dua pelumba iaitu Quartararo dan Bagnaia sangat kuat.
“Ducati mempunyai jentera yang laju dan saya perlu waspada. Jadi, saya harap saya dan pasukan dapat memberikan yang terbaik. Saya yakin ia bukan satu misi mustahil bagi kami,” katanya. – AGENSI