KUALA LUMPUR – Polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah jenis syabu bernilai RM8.53 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Segambut Dalam, di sini Sabtu lalu.
Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur turut dijalankan di empat lokasi berasingan sekitar Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, hasil serbuan tersebut, polis berjaya merampas 226 bungkusan dadah jenis syabu dengan berat 236 kilogram.
Menurutnya, dadah tersebut diperoleh dari utara Semenanjung dan dihantar ke Kuala Lumpur sebagai transit sebelum diedarkan kepada pembeli di sekitar Lembah Klang.
“Susulan itu, polis berjaya menahan tujuh lelaki tempatan berusia 24 hingga 47 tahun secara berasingan di empat tempat lain.
“Antaranya di sebuah rumah di Batu Gajah, Perak dan tiga hentian di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hentian di Tapah, Perak serta hentian di Ulu Bernam, Selangor,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, empat suspek daripada tujuh yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek turut positif dadah jenis methamphetamine.
“Polis turut merampas empat buah kenderaan jenis Toyota Alphard, Ford Ranger, Perodua Axia dan Perodua Bezza serta barang kemas dan jam tangan yang dianggarkan berjumlah RM424,750,” ujarnya.
Tambah Yahaya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 24 September ini. – KOSMO! ONLINE