fbpx

Ada apa dalam hati si pendera budak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SELAIN kisah dadah, rasuah, rogol dan mencuri, ada satu lagi jenayah yang sering berlegar dalam masyarakat kita. Jenayah itu ialah penderaan kanak-kanak.

Penderaan kanak-kanak boleh ditakrifkan sebagai perbuatan zalim yang biasanya dilakukan ke atas mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

Yang biasa kita dengar adalah kes kekerasan sehingga mendatangkan kecederaan dan kematian. Itu adalah penderaan fizikal. Ada lagi kategori lain yang turut dikelaskan sebagai penderaan iaitu penderaan mental dan penderaan seksual. Semuanya melibatkan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Berdasarkan statistik penduduk pada 2021, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun adalah dianggarkan berjumlah 9.13 juta, iaitu 28 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia yang seramai 32.7 juta orang.

Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun iaitu 37.2 peratus. Ini diikuti Terengganu (35.6 peratus) dan Kelantan dengan 34.7 peratus.

Melihat kepada statistik ini, jelas menunjukkan kanak-kanak merupakan kumpulan masyarakat yang besar dan cukup dominan. Ia juga memberikan gambaran betapa besarnya tanggungjawab kita sebagai orang dewasa untuk melindungi hak dan keselamatan mereka.

Tanggungjawab itu bukan hanya diletakkan kepada ibu ataupun bapa, tetapi juga kepada mereka yang bergelar abang, kakak, ibu saudara, bapa saudara, jiran, pengasuh dan amah.

Sebagaimana kita berterusan membenteras gejala dadah dan rasuah, hal sama juga perlu dilakukan ke atas isu penderaan. Cukup-cukuplah kita disajikan dengan pelbagai kisah sedih tentang nasib malang seorang anak.

Cukup-cukup jugalah kita bersedih dan meraung dengan kisah tragis kematian kanak-kanak asbab kegilaan manusia dewasa.

Lihat sahaja kepada jumlah kes yang direkodkan. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) misalnya merekodkan sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak di seluruh negara bermula Januari sehingga Jun tahun ini.

Ini bermakna, dalam sehari terdapat sekurang-kurangnya enam kanak-kanak di seluruh negara telah menjadi mangsa penderaan. Situasi ini cukup genting dan membimbangkan seolah-olah tubuh dan nyawa kanak-kanak itu tidak bernilai.

Apa yang sebenarnya berlaku dan di manakah puncanya?

Berdasarkan pelbagai kajian ilmiah yang dijalankan, faktor tertinggi yang dikenal pasti menjadi punca kepada penderaan adalah perbalahan ibu bapa. Turut disenaraikan sebagai punca adalah masalah kewangan, ibu mengikut teman lelaki serta kecuaian keluarga.

Benarlah, keluarga adalah punca segala-galanya. Di sinilah bermulanya sebuah kebahagiaan dan di sini jugalah permulaan kepada sebuah penderitaan.

Kepada si pendera, insaf dan buanglah sifat amarah dalam diri. Kasihi anak kecil dan sayangi mereka.

Ingat pesan Hamka, ikhlas dan sejati itu boleh dilihat dalam senyuman seorang anak kecil, senyum yang sebenarnya senyum dan senyum yang tidak disertai apa-apa makna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI