fbpx

Cadang hubungkan Maqasid al-Shariah dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapsyen - Noh (tengah) pada Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa Bank Rakyat ke-4 (iSHAR) 2022 di Kuala Lumpur. foto - WAN REDZA WAN SHARMADI

KUALA LUMPUR – Kerajaan mencadangkan supaya prinsip Maqasid al-Shariah dihubungkan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) sebagai langkah penyelesaian untuk memajukan kewangan Islam di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, dalam masa sama, cadangan lain boleh dilaksanakan dengan memperkasakan komuniti melalui pembiayaan bersasar berdasarkan hasil yang boleh diukur.

“Ini bermakna kita tidak seharusnya sekadar membuat senarai untuk mencapai sesuatu. Seperti SDG, kita perlu memastikan bahawa kita membangunkan mekanisme untuk mengukur kemajuan terhadap matlamat kita.

“Indeks Keislaman (Islamicity Index) adalah contoh yang menarik. Ia menunjukkan beberapa matlamat kritikal sepatutnya kita sasarkan berdasarkan beberapa parameter pembangunan manusia,” katanya pada Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa Bank Rakyat ke-4 (iSHAR) 2022 di sini hari ini.

Persidangan tersebut berlangsung dengan kerjasama International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) dan Derasat for Research and Consulting Islamic Banking (Derasat) melibatkan lebih 35 cendekiawan syariah dari Malaysia, Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Jordan Emiriah Arab Bersatu dan Algeria.

Sementara itu, beliau turut menyaksikan Memorandum Perjanjian antara Bank Rakyat, INCEIF, DERASAT dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertujuan berkongsi bidang kepakaran dan ilmu pengetahuan dalam perbankan serta industri kewangan Islam.

Noh turut merasmikan Buku Resolusi Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa Bank Rakyat yang ketiga berdasarkan perbincangan semasa iSHAR 2019 yang bertujuan untuk menangani isu kontemporari dihadapi oleh industri perkhidmatan kewangan Islam. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI