PETALING JAYA – Ibarat memulangkan batu buah keras, penyanyi dangdut kontroversi, Baby Shima menyelar sikap golongan agamawan yang aktif dalam media sosial berhubung penganjuran sebuah konsert besar-besaran di Kelantan baru-baru ini.
Menerusi hantaran yang dimuat dalam InstaStories miliknya, Shima lantang mempersoalkan tindakan pihak terbabit yang dilihat hanya berdiam diri terhadap penganjuran konsert selama tiga hari berturut-turut itu.
Lebih berani, Shima turut menyindir beberapa ahli agamawan yang dilihat sengaja mendiamkan diri dan langsung tidak melakukan sebarang bantahan terhadap konsert berkenaan.
“Kelantan ada konsert! Pencetus Ummah (PU), ustaz atau ustazah media sosial tak nak buat demo (bantahan) ke? Hari itu kata nak buat demo besar-besaran,” katanya.
Dalam hantaran berbeza, Shima atau nama penuhnya Nor Ashima Ramli, 30, turut mengkritik dan mempertikaikan tindakan seorang pendakwah bebas yang bersikap tidak adil apabila acap kali membuat bantahan terhadap persembahannya.
“Konsert kat Kelantan tak nak bersuara ke. Tolong beritahu penguasa, jabatan agama dan pihak berkuasa tempatan seperti mana yang awak tulis tentang konsert kita tu.
“Tak aci (adil), bila konsert dan persembahan kita je berkali-kali awak menyalak.
“Konsert kat Kelantan senyap pula, sebab dekat Kelantan ke semua senyap? Bukan ke awak kata konsert haram.
“Amboi isu terpilih saja ke berani. Bila Shima, laju saja terkejar-kejar dan muat naik hantaran sama sini,” luahnya lagi.
Terdahulu, episod demi episod kecaman diterima pelantun lagu Lalai itu termasuk daripada pendakwah terkenal yang menyifatkan tindakan penyanyi kelahiran Permas Jaya, Johor Bahru itu sebagai keterlaluan serta tidak pernah serik mengejar kontroversi dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE