PETALING JAYA- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir ekoran ramalan hujan lebat serta angin yang dijangka melanda negeri di utara Semenanjung serta beberapa kawasan lain.
MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, cuaca buruk itu dilihat tertumpu sekitar Kedah (Langkawi, Kota Setar, Yan dan Kuala Muda) serta keseluruhan negeri Pulai Pinang pada pagi ini.
“Keadaan tersebut dijangka berlarutan sehingga pukul 10 pagi nanti.
“Dalam tempoh sama, hujan lebat dilaporkan turut berlaku melibatkan negeri Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Batang Padang),” katanya hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan sama juga mengeluarkan amaran ribut petir di Selangor merangkumi daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor, manakala cuaca tidak menentu itu turut melanda keseluruhan negeri Johor pada pagi hari ini.
Selain itu, di Sarawak pula, MetMalaysia meramalkan hujan lebat serta ribut petir berpotensi melanda Bintulu (Bintulu) dan Miri (Subis dan Miri) ketika ini. – KOSMO! ONLINE.