NEW DELHI – Bilionair India, Gautam Adani mengatasi pengasas laman peruncitan Amazon, Jeff Bezos untuk muncul sebagai manusia ketiga paling kaya di dunia setakat kelmarin, lapor laman berita United Press International.
Adani merupakan pengasas konglomerat multinasional, Adani Group yang memiliki pelaburan dalam industri perlombongan arang batu, pusat data dan tenaga boleh diperbaharui. Beliau berada pada kedudukan nombor 14 dalam Indeks Bilionair Bloomberg awal tahun ini tetapi kekayaannya kemudian melonjak kepada AS$152.1 bilion (RM691.3 bilion).
Peningkatan itu membolehkan Adani mengatasi Bezos untuk berada di tempat ketiga dengan lebihan harta AS$5.2 juta (RM23.6 juta). Beliau kini berada di belakang taikun fesyen Perancis, Bernard Arnault mengekori manusia terkaya di dunia, Elon Musk yang masing-masing memiliki kekayaan mencecah AS$155.2 bilion (RM705.4 bilion) dan AS$273.2 bilion (RM1.2 trilion).
Kedudukan teratas ranking masa sebenar bilionair Forbes itu berubah dengan ketara pada Jumaat lepas dengan Adani mengatasi Arnault dan menduduki tempat kedua untuk seketika sebelum jatuh semula kepada nombor tiga menjelang malam hari yang sama.
Pada Februari lalu, Adani mengetepikan bilionair India, Mukesh Ambani untuk menjadi orang paling kaya di Asia dan kemudian bergelar sebagai centibillionaire pada April 2022 sekali gus tergolong dalam kalangan antara manusia terkaya dunia.Terma centibillionaire merujuk kepada individu dengan nilai kekayaan lebih AS$100 bilion (RM454.5 bilion).
Adani, 60, memasuki industri berlian Mumbai dalam tahun 1980-an selepas berhenti daripada kolej. Beliau kemudian mengalihkan tumpuan kepada industri arang batu dan pelabuhan sambil mengembangkan konglomeratnya untuk berada pada tahap sekarang selepas bertahun-tahun.
Kekayaan Adani meningkat lebih dua kali ganda sejak awal tahun ini apabila harga tenaga melonjak, manakala Adani membuat pelaburan besar dalam tenaga boleh diperbaharui di tengah-tengah desakan Perdana Menteri, Narendra Modi untuk menjadikan India sebagai hab bahan api baharu. – AFP