SELEPAS mempamerkan aksi cemerlang dan mencipta beberapa kejutan pada penyertaan Sukan Malaysia (Sukma) kali ini, kontinjen Johor mula menaruh harapan tinggi untuk muncul sebagai juara keseluruhan buat julung-julung kali dalam sejarah.
Di sebalik sasaran 40 pingat emas diletakkan, Johor sentiasa berpegang teguh dengan cabaran yang dilontarkan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mencapai 50 emas.
Ketua Kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri berkata, daripada prestasi yang dipamerkan atlet negeri itu, beliau yakin sasaran awal adalah untuk mencapai sasaran 40 emas terlebih dulu.
“Sasaran kita sebenarnya 40 pingat emas tetapi Menteri Besar beri cabaran kepada kita untuk raih sekurang-kurangnya 50 emas. Peluang masih terlalu jauh cumanya kita tetap optimis dengan momentum awal terutamanya apabila Johor mampu raih emas di luar jangka.
“Saya percaya pegawai pasukan, jurulatih dan atlet nampak ceria serta yakin, malah ada ketikanya kita dapat ‘bonus’ melebihi sasaran harian. Berbaki beberapa hari lagi saya percaya kita akan tertumpu kepada acara keperti kanu, menembak dan berbasikal, manakala selebihnya kalau dapat emas adalah bonus.
“Saya percaya kalau kita dapat 40 emas, kita sudah berada dalam kelompok lima terbaik, kalau lebih di tiga terbaik dan kalau melepasi 50 emas, kita boleh jadi juara,” katanya pada Majlis Makan Malam bersama Media kelmarin.
Dalam masa sama, Mohamad Najib mengesahkan ketika ini setiap pemenang emas bakal menerima insentif atau pun ganjaran bernilai RM3,000 bagi setiap pingat.
“Persiapan kita sudah dimulakan sejak berakhirnya Sukma Perak pada 2018. Semua atlet, persatuan sukan dan Majlis Sukan Negeri sudah melakukan persiapan rapi dan selepas empat tahun bekerja keras, inilah hasil yang kita dapat,” katanya.