fbpx

Lebih 9 juta penduduk Jepun diminta berpindah akibat Taufan Nanmadol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIR Sungai Sendai melimpah dan mengalir deras menjelang ketibaan Taufan Nanmadol di Isa, wilayah Kagoshima hari ini. - AFP

IZUMI, Jepun – Berjuta-juta orang berada di bawah amaran perpindahan hari ini ketika Taufan  Nanmadol membawa hujan lebat dan angin kencang di barat daya Jepun selepas tiba di daratan semalam.

Taufan kuat itu semakin lemah sejak tiba di daratan sekitar bandar raya Kagoshima, rantau Kyushu petang semalam tetapi masih menumbangkan pokok-pokok, memecahkan tingkap-tingkap  dan menyebabkan air sungai melimpah.

Badan penyiaran awam NHK melaporkan, seorang mangsa terbunuh dan 50 yang lain cedera ketika ribut itu melintasi  Pulau Kyushu. Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan angka korban atau kecederaan rasmi.

Perdana Menteri, Fumio Kishida yang dijadualkan berlepas menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, akan melewatkan perjalanan beliau selama sehari bagi memeriksa kerosakan akibat Nanmadol.

Pegawai-pegawai Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran bahawa beberapa kawasan di wilayah Miyazaki menerima taburan hujan sebulan dalam masa hanya 24 jam, menyebabkan sungai-sungai melimpah.

“Walaupun hujan meningkat sedikit, ia boleh menyebabkan paras air meningkat, justeru orang ramai diminta kekal waspada untuk bencana banjir dan tanah runtuh,” kata pegawai kementerian tanah, Yoshiyuki Toyoguchi kepada wartawan. 

Walaupun taufan itu membawa angin kencang selaju 234 kilometer sejam, kerosakan yang berlaku setakat ini masih terhad.

Bagaimanapun, kerajaan Jepun mengeluarkan amaran berpindah kepada 9.6 juta penduduk berikutan bencana tersebut.

Amaran itu bukan mandatori, manakala pihak berkuasa sukar menyakinkan penduduk supaya meninggalkan kediaman mereka semasa bencana alam menimpa. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI