SEPERTI namanya yang berbunyi ampuh, John Legend terus unggul dalam kalangan peminat muzik di seluruh pelosok dunia termasuk, di Asia Tenggara.
Pemenang 12 kali berturut-turut Anugerah Grammy itu langsung tidak pernah menghampakan peminat kesayangannya tidak kira dalam apa jua yang dipersembahkan.
Dua tahun tidak menghadiahkan apa-apa buah tangan kepada peminat seluruh dunia yang dahagakan muzik daripadanya, Legend akhirnya muncul dengan hadiah terbaharu buat semua.
Legend. Ya, itu judul bagi album studio kelapan yang diambil khas daripada namanya bagi menghiasi kulit diskografi tersebut yang baru sahaja dilancarkan 9 September lalu.
Menampilkan 24 buah lagu yang kebanyakan dicipta, ditulis sendiri seni katanya oleh Legend bahkan turut mendapat sentuhan komposer serta penyanyi hebat lain, figura itu kini menjadi bualan ramai pengikut muzik.
Menariknya, semua lagu tersebut tidak diselitkan dalam satu cakera, tetapi dibahagikan kepada dua jilid iaitu Act 1 dan Act 2.
“Mengapa saya memutuskan untuk membahagikan lagu kepada dua album kerana ada dua mood berbeza yang saya cuba bawakan kali ini.
“Saya juga mengambil keputusan meluncurkan kesemua 24 buah lagu dalam satu album kerana telah bekerja keras menyiapkannya sejak dua tahun kebelakangan ini,” katanya.
Ditanya mengapa memilih nama sendiri sebagai judul album tersebut, pelantun lagu popular All Of Me itu berkata, Legend benar-benar mewakili kisah, inspirasi, cinta dan pengalaman hidupnya sepanjang bergelar anak seni.
“Untuk album kali ini, saya menerapkan kisah peribadi dan perjalanan hidup sendiri sebagai penyanyi sejak dari bujang hinggalah berkeluarga.
“Saya mahu pendengar dan peminat turut sama-sama merasa cinta dan kasih sayang menerusi Legend.
“Menerusi album ini juga, saya mengambil peluang menghargai isteri dan anak perempuan yang banyak menjadi sumber inspirasi sejak sembilan tahun lalu,” katanya.
Selebriti serba boleh kelahiran Amerika Syarikat berusia 44 tahun itu berkata demikian pada sidang akhbar secara virtual bersama wakil media Asia Tenggara untuk mempromosikan Legend baru-baru ini.
Kolaborasi
Berkongsi sedikit mengenai penglibatan artis antarabangsa lain dalam menghasilkan album tersebut, Legend berkata, dia seronok dan terbuka atas usaha sama yang terjalin.
Dalam gerak kerja pembikinan Legend, ramai nama-nama besar yang terlibat secara langsung dan memberi ilham sebelum terhasilnya album berkenaan antaranya Stevie Wonder, Marvin Gaye, Prince dan Whitney Houston.
“Sebagai contoh, penyanyi dan penulis lagu hebat, Jazzmine Sullivan juga merupakan salah seorang idola kegemaran saya. Kami gembira dapat bekerjasama dengannya menerusi lagu Love.
“Rick Ross dan Jhene Aiko juga hebat kerana saya dapat menggabungkan elemen duet rap serta pop moden. Itu sangatlah mengagumkan.
“Setiap daripada mereka membawa kekuatan dan keunikan masing-masing hingga melengkapkan keseluruhan projek ini,” ujarnya.
Legend memuatkan sebanyak 24 buah lagu dan antara yang dimuatkan dalam Act 1 ialah Rounds (ft. Rick Ross), Love (ft. Jazmine Zullivan) dan All She Wanna Do (ft. Saweetie).
Senarai yang memenuhi jilid Act 2 pula mempertaruhkan lagu-lagu hit yang dimuatkan seperti Memories, Nervous, Wonder Women, Honey (ft Muni Long), Pieces dan banyak lagi.