LYON – Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi menjadi wira pasukan tersebut apabila menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Olympique Lyon 1-0 pada aksi Ligue 1 di Stadium Groupama awal pagi semalam.
Pemenang tujuh kali anugerah Ballon d’Or itu hanya memerlukan lima minit untuk menjaringkan gol kemenangan pasukan selepas gerakan yang dilakukan bersama Neymar berjaya memecah benteng pertahanan tuan rumah.
Menerusi kemenangan itu, PSG kini gah menerajui saingan liga dengan mengutip 22 mata selepas lapan perlawanan hasil tujuh kemenangan dan satu seri, dua mata dibezakan pencabar terdekat, Olympique Marseille.
Walaupun mencatat kemenangan, namun pemain tengah PSG, Vitinha belum berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan kerana percaya mereka sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan tersebut.
“Kami berpuas hati dengan kemenangan yang dicatatkan pada hari ini (semalam), namun kami sepatutnya jaringkan lebih banyak gol. Bagaimanapun, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki.
“Selain itu, saya fikir kami juga perlu mengawal permainan dengan lebih baik pada separuh masa kedua. Berdasarkan penguasaan bola yang kami miliki, kami sepatutnya cipta lebih banyak peluang,” katanya.
Pada masa sama, gandingan yang dipamerkan Messi dan Neymar pada perlawanan itu cukup baik dan dianggap sebagai jelmaan ketika kedua-dua pemain tersebut menyarung jersi Barcelona sebelum ini. – AGENSI