fbpx

Aspirasi Rendah Karbon dijangka tingkatkan KDNK RM13 bilion setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara di Marriot Hotel Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Aspirasi Rendah Karbon 2040 di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2044 (DTN) dijangka dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sebanyak RM13 bilion setahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaannya secara holistik juga dijangka mampu mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu di seluruh negara.

“Aspirasi Rendah Karbon 2040 akan dapat membantu mencapai aspirasi negara pada tahun 2050 bagi menghadapi trend yang berlaku dalam peralihan tenaga dan menangani cabaran perubahan iklim.

“Antara beberapa sasaran terpilih yang disasarkan menerusi pelaksanaan aspirasi ini menjelang 2040 adalah perkongsian mod pengangkutan awam bandar sebanyak 50 peratus, penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebanyak 38 peratus, standard bahan api alternatif kenderaan berat dengan campuran bahan api B30.

“Kita juga menyasarkan penggunaan gas asli cecair (LNG ) sebagai bahan api alternatif pengangkutan marin sebanyak 25 peratus dan penjimatan kecekapan tenaga oleh industri dan komersial sebanyak 11 peratus serta kediaman sebanyak 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022-2044 yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sektor tenaga di seluruh dunia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya permintaan dan kos bekalan tenaga yang semakin meningkat.

“Kedua-dua cabaran ini akan terus memberi tekanan kepada kerajaan untuk menanggung subsidi yang tinggi agar kehidupan Keluarga Malaysia tidak terbeban contohnya bagi tahun 2022, kerajaan dijangka menanggung subsidi tenaga sebanyak RM37.3 bilion bagi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

“Kerajaan juga menampung subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion bagi manfaat Keluarga Malaysia serta
memberikan jaminan pembiayaan sehingga RM6 bilion kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), agar operasinya tidak terjejas,” ujar beliau.

Tambah beliau, sehubungan itu, DTN telah digubal dengan mengambil kira perkembangan serta cabaran dalaman dan luaran demi memastikan sektor tenaga dapat terus membangun dengan mampan.

“Sektor tenaga negara bakal membuka lembaran baharu selari di peringkat dunia yang menyaksikan munculnya sektor-sektor baharu seperti mobiliti rendah karbon melalui penggunaan EV, serta penjanaan dan penyimpanan sumber tenaga baharu seperti hidrogen dan tenaga berasaskan bio.

Ujar beliau, bagi mencapai visi dan objektif DTN, sebanyak 12 strategi dan 31 pelan tindakan dikenal pasti berlandaskan empat teras strategik dan lima pemboleh daya untuk dilaksanakan bagi jangka pendek, panjang dan panjang selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

“Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tenaga Negara (MTN) bagi menerajui hala tuju peringkat tertinggi dalam membuat keputusan strategik berkaitan sektor tenaga, kerana strategi dan pelan tindakan DTN merentasi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.

“Saya akan mempengerusikan Majlis Tenaga Negara ini bagi memastikan inisiatif DTN dilaksanakan secara berkesan oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab berdasarkan akauntabiliti dan peranan masing-masing,” jelas beliau.

Tambah Ismail Sabri, DTN merupakan ‘living document’ yang dikemas kini setiap tiga tahun dengan semakan dan pertimbangan dilakukan MTN, selari dengan kemajuan teknologi, tahap pencapaian sosioekonomi negara dan keseimbangan trilema tenaga semasa.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI