BERGELAR seorang artis idola bukannya mudah dan bermacam liku terpaksa ditempuh penyanyi Sakura untuk dirinya berada di tahap sekarang.
Dia yang kini menempa populariti bersama Le Sserafim mendedahkan sebelum ini, dirinya pernah berdepan kritikan dan kutukan jahat daripada netizen.
Dedahnya dalam episod kedua dokumentari kumpulannya berjudul The World Is My Oyster, dia pernah digelar penyanyi yang teruk sepanjang 10 tahun bergelar artis idola di Jepun.
“Ramai cakap saya seorang penyanyi yang teruk. Apabila mendengar kata-kata itu, hati saya remuk,” ujarnya.
Disebabkan itu, dia yang sebelum ini berkarier bersama kumpulan AKB48 pernah terfikir untuk melimitkan rangkap lagu yang perlu dinyanyikannya.
“Saya nak buat yang terbaik tetapi pada masa sama, saya risau kalau mendengar kutukan sebegitu lagi,” kata penyanyi kelahiran Jepun itu.
Bagaimanapun sejak memulakan debut bersama Le Sserafim pada Jun lalu, dia memutuskan untuk terus maju ke depan dan tidak lagi mahu mendengar kata-kata orang.