fbpx

Sindiket pinjaman wang berlesen tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Norzainy Mohd Noor (dua dari kanan) bersama Pegawai menunjukkan sebahagian 1,141 pelbagai kad bank dan sejumlah wang tunai RM140,565 yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di Butterworth, berhubung kegiatan pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang beroperasi sejak Februari lalu ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

SEBERANG PERAI – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pinjaman wang berlesen yang aktif di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) susulan tertangkapnya tiga orang suspek termasuk seorang wanita warga Laos, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, penangkapan ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 30 tahun itu turut membawa kepada penemuan barang kes dalam serbuan yang dijalankan di sebuah kondominium di Jalan Raja Uda, Butterworth itu.

Katanya, hasil pemeriksaan di kondominium itu menjumpai sejumlah 1,141 keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad debit daripada pelbagai bank serta wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM140,565 dipercayai hasil daripada kegiatan berkenaan.

“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah sebuah beg berjenama Fila, lebih 80 keping resit bank, tujuh keping sampul surat yang mengandungi maklumat peminjam serta dua keping salinan lesen pemberi pinjaman wang.

“Selain itu, dua mesin kira wang kertas, empat buah telefon bimbit, sebuah mangga kunci serta serangkai anak kunci turut dirampas dalam serbuan yang sama,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Noorzainy memberitahu, siasatan lanjut mendapati, kesemua 1,141 keping kad yang dirampas itu milik pelanggan mereka yang diletakkan sebagai cagaran untuk meminjam wang.

“Polis percaya modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah, mereka akan mengeluarkan wang gaji yang diterima pelanggan mereka setiap bulan menerusi kad yang dipegang itu untuk membayar pinjaman yang dibuat,” katanya.

Jelas Noorzainy, siasatan awal mendapati, kegiatan tersebut telah berjalan sejak Februari lalu dan disyaki beroperasi tanpa lesen yang sah.

Justeru, beliau meminta pelanggan atau mangsa sindiket berkenaan tampil membuat laporan polis dengan segera bagi melancarkan siasatan.

“Ketika ini juga, ketiga-tiga suspek telah direman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 kerana menjalankan aktiviti perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI