PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu meletakkan kenderaanya sesuka hati sehingga menghalang lalu lintas mendapat kecaman orang ramai.
Menerusi sebuah rakaman berdurasi dua minit 35 saat di Facebook Abang Just Sebarkan, tindakan pemandu itu menyebabkan sebuah bas sukar untuk melepasi laluan berkenaan sehingga perlu dibantu oleh orang ramai.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan di mana dan bila kejadian itu berlaku.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati, orang ramai berang dengan sikap segelintir pemandu yang gemar meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa memikirkan orang lain.
“Paling menyusahkan kereta yang ‘double parking’ (parkir berlapis) macam itu sehingga laluan jadi sempit,” kata Dania.
“Itulah sikap kita tempat tak boleh letak kereta situ juga letak, bukankah menyusahkan orang lain? Bahkan menyusahkan diri sendiri akhirnya, biarlah kita guna akal dan pemikiran yang bijak hidup ini senang kalau dipermudahkan,” kata Wai Hidi.
“Janganlah parkir sembarangan. Ada sebab petak parkir dibuat dan silalah letakkan kenderaan dalam kotak. Jangan menyusahkan orang lain, kalau aku yang bawa bas itu, aku langgar saja,” kata Udin.
Dalam pada itu, orang ramai turut memuji pemandu bas tersebut yang bersabar dan berusaha untuk melalui jalan tersebut dengan berhati-hati.
“Terbaik abang ‘driver’ boleh kawal dalam keadaan macam itu dengan bantuan orang ramai,” kata Eitacomel.
“Terbaik pemandu bas ini, kesabaran yang sangat tinggi,” kata Jaafar.
Sehingga kini, video berkenaan telah ditonton lebih 200,000 kali. – KOSMO! ONLINE