Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Penutupan loji rawatan air (LRA) setiap kali berlakunya pencemaran bukan dilakukan sesuka hati sebaliknya ia bagi mengurangkan risiko kesihatan kepada orang awam.
Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Air dan Alam Sekitar, Datuk Seri Zaini Ujang berkata,
penutupan itu dibuat kerana LRA hanya dibenarkan merawat air mentah yang rendah tahap bahan cemarnya bagi mengurangkan risiko kesihatan awam.
Beliau berkata, jika tahap pencemaran yang dilepaskan dari kilang, loji rawatan kumbahan, kandang ternakan dan premis perniagaan tinggi kandungan bahan cemarnya maka, muka sauk (water intake) untuk pengambilan air mentah terpaksa ditutup.
“Membasuh kilang, loji, bengkel, kandang ternakan dan premis perniagaan boleh mencemarkan sumber air sungai, tasik dan empangan jika tidak ada kemudahan rawatan air sisa di premis tersebut.
“Maknanya apa sahaja kotoran, najis, bahan kimia dan lain-lain akan terus disalurkan ke longkang dan dari longkang akan masuk ke anak sungai dan sungai utama tanpa sebarang rawatan intensif,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebooknya, hari ini.
Katanya, kebanyakan premis di kawasan perumahan yang menghasilkan air basuhan dari bilik air, dapur serta tandas telah disambung dengan sistem pembetungan berpusat yang dikendalikan oleh syarikat Indah Water Konsortium (IWK).
Zaini berkata, pembetungan berpusat dilengkapi dengan loji rawatan kumbahan yang bertujuan untuk mengurangkan tahap pencemaran sebelum kumbahan terawat dilepaskan ke sungai atau laut.
Menjawab samada teknologi rawatan LRA boleh ditambahbaik untuk membolehkan sungai atau air bawah tanah tercemar dijadikan sumber air mentah, Zaini berkata, ia boleh dilaksanakan tetapi kos pembinaan dan operasi akan meningkat dan risiko kesihatan awam akan juga meningkat.
Justeru, katanya, setiap orang awam perlu memastikan semua premis perumahan, kilang, loji, kandang ternakan dan premis perniagaan mempunyai kemudahan rawatan air sisa atau kumbahan.
“Sebagai pengguna, kita pastikan kumbahan dari rumah kita disalurkan kepada sistem pembetungan berpusat yang dikendalikan oleh IWK.
“Jika menggunakan tangki septik, kita pastikan tangki dikosongkan sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun,” katanya. – K! ONLINE