PETALING JAYA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) dengan pembinaan struktur glob terbesar di Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu hari ini.
Struktur terumbu glob ketinggian tiga meter dengan berat melebihi satu tan itu diturunkan ke dasar laut oleh seramai 10 alumni diketuai Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff yang juga merupakan alumni UPSI.
Md. Amin berkata, sebagai institusi pendidikan keramat, UPSI terbina daripada sebuah semangat perjuangan pendidikan.
“Kejayaan ini membuktikan kecintaan kami para alumni terhadap UPSI,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, dengan adanya struktur glob baharu itu sekali gus membantu Jabatan Perikanan dalam usaha pemuliharaan terumbu karang.
“Ini kerana, kebanyakan hidupan di taman laut telah musnah sebelum ini akibat Taufan Pabuk sekitar Januari 2019,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE