fbpx

Dua ah long didakwa memeras peminjam wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAN Ang Kang (baju kuning) dan Yeoh Teck Kiat (putih hitam) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan kepada peminjam wanita. FOTO : NOR SHAFAWATI YUP.

SEREMBAN – Dua ah long mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan kepada seorang peminjam wanita pada September lalu.

Kedua-dua tertuduh, Tan Ang Kang, 42, dan Yeoh Teck Kiat, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Salleh.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu secara bersama dengan sengaja telah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita berusia 45 tahun.

Pemerasan itu telah mendorong dengan curangnya supaya mangsa menyerahkan sebuah telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Axia dan wang berjumlah RM200.

Kesalahan itu dilakukan di lot kedai berdekatan sebuah kolej swasta di Mantin, Nilai pada 13 September lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan.

Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menawarkan pinjaman wang tidak berlesen di hadapan Hakim Diana Md. Razali.

Mengikut pertuduhan, mereka telah menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah kepada peminjam wanita yang sama di Pekan Taman Semarak Nilai di Nilai pada 26 Mei lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM14,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport dan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Kes akan disebut semula 25 Oktober depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI