Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
SHAH ALAM – Orang ramai berhampiran Jalan Kebun di sini yang terjejas akibat penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi boleh mendapatkan air secara percuma di dua telaga komuniti yang dibina oleh penduduk di kawasan tersebut.
Pengerusi Persatuan Anak Jati Jalan Kebun, Yazid Muhidin berkata, pembinaan telaga tersebut jelas menampakkan kepentingan apabila penduduk Selangor sekali berdepan masalah gangguan bekalan air.
Katanya, telaga sedalam 7.5 meter setiap satu itu adalah sumbangan ahli persatuan penduduk sebanyak RM4,500 yang dibina semasa krisis gangguan bekalan air akibat penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.
“Siapa menduga masalah bekalan air ini berlaku sekali lagi selepas selepas sebulan.
“Air di telaga ini mampu menampung kira-kira 30,000 penduduk di kawasan sekitar dan diberikan secara percuma,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan penduduk kampung Jalan Kebun yang serik dengan gangguan bekalan air nekad membina dua telaga air sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan gangguan tersebut berulang kembali.
Mengulas lanjut, Yazid berkata, penduduk luar kawasan Kampung Jalan Kebun yang ingin mendapatkan air boleh menghubunginya di talian aplikasi WhatsApp, 0169665460. -K!ONLINE