fbpx

Impian bakal jadi nyata dengan biasiswa PNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurjalalikram bersama ibu bapanya gembira dengan peluang yang diberikan.

SEJAK kecil, Norjalalikram Mohd. Nor memasang impian untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Umpama mimpi menjadi realiti, hasratnya itu menjadi kenyataan apabila berjaya mendapat tempat untuk menyambung pengajian di University of California, Los Angeles (UCLA), Amerika Syarikat (AS).

Lebih menggembirakan anak kelahiran Bachok, Kelantan itu lagi apabila pengajiannya itu ditaja sepenuhnya selepas beliau menjadi penerima Anugerah Biasiswa Luar Negara daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Selain Norjalalikram, 23, pelajar lain turut mendapat tajaan biasiswa tersebut pada tahun ini. Kesemua mereka bakal melanjutkan pengajian di United Kingdom, AS dan Australia.

“Gembira apabila menerima perkhabaran saya menerima anugerah ini. Menuntut di luar negara merupakan impian saya sejak kecil.

“Sebelum ini, saya menerima empat tawaran lain untuk melanjutkan pengajian di luar negara iaitu di Korea Selatan, AS, New Zealand dan Sepanyol dalam jurusan dan di bawah tajaan biasiswa berbeza.

“Bagaimanapun, saya memilih UCLA kerana minat dalam bidang komputer,” katanya kepada K2.

Bersyukur kerana terpilih, kata beliau, pilihannya untuk melanjutkan pengajian di universiti tersebut adalah kerana menginginkan jaminan kerjaya apabila tamat pengajian kelak.

“Tiga kakak serta abang saya sebelum ini bekerja di bidang kesihatan. Kedua-dua ibu bapa saya mahukan jaminan kerjaya. Justeru, biasiswa di bawah PNB merupakan pilihan yang tepat.

“Tambahan pula ia didorong oleh minat saya sendiri, selain lokasi UCLA berdekatan dengan Lembah Silikon yang mana banyak firma teknologi bertaraf dunia ada di sana. Insya-Allah, jika ada peluang, saya mahu menjalani sesi latihan praktikum di sana,” kongsinya.

Anugerah tersebut merupakan komponen utama dalam inisiatif pengurusan bakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PNB.

SERAMAI 24 orang pelajar terpilih untuk menerima biasiswa di bawah PNB untuk melanjutkan pengajian di luar negara pada tahun ini.

Ia bagi memberi faedah secara langsung dan bermakna kepada pihak berkepentingan syarikat serta untuk memenuhi keperluan masyarakat masa kini.

Menerusi anugerah berkenaan, ia memberi peluang kepada pelajar cemerlang SPM melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di luar negara.

Biasiswa tersebut menumpukan bidang berkaitan portfolio PNB seperti perakaunan, kewangan, undang- undang, matematik, sains aktuari dan kejuruteraan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, sejak dilancarkan pada tahun 1996, PNB telah menganugerahkan biasiswa itu kepada lebih 450 pelajar cemerlang.

AHMAD ZULQARNAIN

Tahun ini, seramai 24 lagi penerima biasiswa dalam kumpulan pelajar ke-24 dipilih dan kesemua mereka dijadualkan berlepas ke luar negara pada bulan ini dan Oktober depan.

“Saban tahun kita menerima lebih 3,000 permohonan daripada pelajar dari seluruh negara.

“Bagaimanapun, selepas proses ujian, temu duga dan kerja kumpulan dijalankan, hanya mereka yang layak terpilih.

“Harapan kita agar kesemua penerima biasiswa dapat belajar bersungguh-sungguh dan pulang ke tanah air untuk berkhidmat sebagai pemimpin masa depan PNB,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima biasiswa itu, Faith Fernandez, 20, berkata, dia amat bertuah kerana diberi peluang melanjutkan pengajian di luar negara.

Anak Kluang, Johor itu berjaya menempatkan diri di King’s College London.

Anak kedua daripada tiga beradik itu akan melanjutkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan.

“Saya begitu gembira kerana ia merupakan satu-satunya tawaran biasiswa yang diterima.

“Disebabkan keluarga berhadapan sedikit masalah kewangan, saya bercadang menyambung pengajian di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sebelum memasuki mana-mana universiti di dalam negara disebabkan faktor kos,” katanya.

Bagaimanapun, dengan peluang melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dunia ini, ia bakal merealisasikan cita-citanya yang mahu bergelar penganalisis kewangan suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI