LONDON – Polis England mengakui kes rompakan tandas emas bernilai £4 juta (RM20.9 juta) tiga tahun lalu di Istana Blenheim masih gagal diselesaikan, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Detektif dikatakan masih cuba menangkap penjenayah yang mencuri tandas dari pameran seni di sebuah rumah agam di Oxfordshire.
Polis turut mendedahkan bahawa walaupun telah membuat beberapa tangkapan berhubung kes kecurian itu, namun tiada seorang pun yang didakwa berikutan kekurangan bukti.
Difahamkan, polis juga tidak mempunyai sebarang petunjuk baharu dan kukuh untuk meneruskan siasatan menjejak pencuri berkenaan.
Kenyataan itu muncul ketika pegawai dari Polis Thames Valley memperbaharui rayuan kepada penduduk tempatan yang mempunyai maklumat mengenai kecurian yang berlaku pada 2019 agar menghubungi mereka.
Tandas mewah bersalut emas rekaan artis, Maurizio Cattelan, telah dipamerkan dalam pameran bertajuk ‘Amerika’ di tempat kelahiran bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill.
Sejurus sebelum pukul 5 pagi (waktu tempatan) pada 14 September 2019, sekumpulan pencuri dipercayai telah menceroboh masuk ke dalam lokasi pameran dan mencabut tandas emas yang baru dipasang dari lantai.
Sejak kecurian tersebut, barisan detektif giat memburu pencuri dan tandas emas berkenaan sehingga kini masih tidak ditemui. – Agensi