Saudara Pengarang,
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir dan rakyat bebas ke mana-mana termasuk bercuti di luar negara, sudah tidak ramai yang melakukan aktiviti riadah seperti berjoging atau berbasikal.
Jika sebelum ini, dua aktiviti ini yang paling meriah di taman rekreasi atau di atas jalan raya, maklumlah rakyat tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri.
Bagaimanapun, sekarang, aktiviti ini dipandang sepi apabila rakyat Malaysia lebih suka bercuti atau pergi melancong.
Sebenarnya, kesihatan adalah nikmat yang tidak ternilai dalam kehidupan. Ada orang kaya yang mempunyai wang berjuta-juta ringgit tetapi sering kali keluar masuk hospital bagi mendapatkan rawatan.
Gaya hidup sihat dan amalan pemakanan yang seimbang akan mempengaruhi tahap kesihatan. Budaya malas bersenam seakan-akan telah sebati dalam kehidupan rakyat Malaysia selama ini.
Ramai yang hanya rajin bersenam ketika pelaksanaan PKP, itupun disebabkan mahu menghilangkan rasa bosan terkurung di rumah. Mungkin masalah ini antara lain disebabkan Malaysia sedang menuju ke arah negara maju dan rakyat kini terlalu sibuk untuk memajukan diri serta keluarga.
Gaya hidup dan amalan pemakanan yang dilakukan ketika ini akan menentukan tahap kesihatan setiap individu pada masa hadapan
Ubahlah gaya hidup untuk mencapai kehidupan yang lebih sejahtera pada masa hadapan.
TAJUDIN ARIF
Johor Bahru, Johor