fbpx

TDC kuasai digitalisasi lebih awal sebelum pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Rahmat di­sebalik banjir besar yang me­landa negeri Kelantan pada tahun 2014 telah mengubah konsep perniagaan seorang usahawan ke arah digitalisasi lebih awal sebelum pandemik melanda negara sekali gus mengubah empayar perniagaannya semakin berjaya bukan sahaja di pasaran domestik tetapi berupaya menembusi pasaran antarabangsa.

Pengasas TDC Holdings Sdn. Bhd. (TDC), Mohd. Hafizuddin Hiew Abdullah, 35, berkata, sebelum ini syarikat terlibat dalam bidang percetakan dan jualan cenderamata di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dengan memiliki tiga buah cawangan.

Jelasnya, banjir besar itu te­lah menenggelamkan dua daripada tiga cawangan sedia adanya.

Bermula dari situ, usahawan yang berasal dari Ipoh, Perak ini nekad untuk menukar strategi perniagaannya pada tahun 2016 yang berorientasikan online.

Ideanya itu mahu meleng­kapkan keseluruhan operasi pentadbiran syarikat dari aspek perakaunan hingga sistem invois daripada stokis serta ejen hanya berteraskan kepada platform online kecuali hal berkaitan dengan gudang.

Mohd. Hafizuddin mengambil masa lebih kurang setahun setengah untuk membangunkan platform online tersebut dengan peruntukan modal yang berbaki kira-kira RM100,000 untuk memulakan perniagaan baharu berkaitan pengeluaran serta pengedaran produk penjagaan kesihatan.

Selepas hampir tiga tahun beroperasi iaitu pada tahun 2018, syarikat mula merekrut stokis untuk mengembangkan penguasaan pasarannya selain meningkatkan perolehan jualannya.

Beliau bijak menggunakan segala sumber wang yang ada untuk membangunkan perniagaan terbaharunya itu secara berpe­ringkat tanpa terburu-buru me­ngaut keuntungan segera.

“Saya berniat untuk mengete­ngahkan produk berkaitan pemakanan sunnah khususnya susu kerana kita semua tahu tahu tentang kebaikan dan manfaat susu kerana sejak bayi lagi kita semua minum susu.

“Oleh itu, TDC telah memperkenalkan produk penjagaan kesihatan berasaskan kolostrum dan New Zealand adalah antara negara yang mengeluarkan susu terbaik dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk terbaharunya, NectarMax di sini baru-baru ini.

Mohd. Hafizuddin menjelaskan, penjualan produk sulung itu hampir 100 peratus menggunakan platform online selain mempelopori mesyuarat secara online melalui Google Meet dan Zoom sebelum pandemik me­landa negara.

Sehubungan itu, pendapatan TDC telah mencecah kepada RM100 juta ekoran sistem soko­ngan pengoperasiannya melalui online begitu kukuh dan mantap.

Malah, tiga daripada produk baharunya diperkenalkan dalam tempoh pandemik juga.

Mengulas lanjut mengenai jualan syarikat, Mohd. Hafizuddin me­nerangkan, C2Joy adalah produk sulung keluaran syarikat yang ­berasaskan kepada kolostrum.

Bersandarkan sambutan meng­galakkan itu, TDC mengeluarkan produk keduanya iaitu Colever yang juga berasaskan kolostrum berkualiti tinggi.

Produk tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan da­ripada para pengedar bukan sahaja dalam negara tetapi juga di pasaran antarabangsa termasuk Singapura, Brunei dan China.

Sehingga kini, TDC yang memiliki sehingga 300,000 ahli itu juga menawarkan Jus Antioxidant BerryMix dan Serbuk Cen­dawan Susu Harimau Alithera.

Syarikat kini telah meluaskan penguasaan pasarannya de­ngan membuka sebuah pejabat di Kuala Lumpur, memiliki sebuah kilang di Kajang dan gudang di Sabah.

Lebih menarik, syarikat juga memiliki sebuah pejabat u­saha samanya di Brunei dan yang terbaharu di Afrika.

“Kami akan menembusi pasaran di Indonesia tahun depan,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju syarikat, Mohd. Hafizuddin menerangkan, pendapatan TDC diunjurkan bertambah sekali ganda kepada RM200 juta dengan pe­ningkatan jumlah ahlinya kepada satu juta orang.

Menurutnya, kira-kira 90 peratus daripada ahli TDC terdiri daripada pengedar separuh masa dan kebanyakan mereka adalah golo­ngan wanita.

Kumpulan berkenaan mampu meraih hasil pendapatan bersih lebih RM1,500 sebulan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI