MARANG – Selepas lebih dua tahun penganjurannya terhenti akibat pandemik Covid-19, Program Pasar Percuma Terengganu Kita yang diadakan semalam memberi ‘rezeki’ kepada lebih 1,000 pengunjung.
Pasar yang menawarkan pelbagai barangan secara percuma termasuk barangan keperluan dan permainan kanak-kanak kepada penduduk kurang berkemampuan diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang, Bukit Payong.
Pengasasnya, Dr. Muhammad Salehuddin Sulaiman berkata, program pasar percuma telah dilaksanakan sejak tahun 2015 sebelum terhenti seketika awal 2020 ekoran Covid-19.
Menurutnya, konsep pasar percuma ialah menghimpun sumbangan barangan terpakai seperti pakaian, kasut, mainan kanak-kanak, perabot, pinggan mangkuk, alat tulis dan buku daripada mereka yang berkemampuan.
“Alhamdulillah penganjuran kali ke-23 di SK Padang Mengkuang ini mendapat sambutan menggalakkan dengan bantuan 20 sukarelawan dan lebih 30 penyumbang.
“Sepanjang penganjurannya sejak tujuh tahun lalu, dianggarkan seramai 20,000 penduduk tempatan kurang berkemampuan telah menerima manfaatnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Muhammad Salehuddin berkata, permainan kanak-kanak dan pakaian antara barang paling laris pada program berkenaan.
“Semua pengunjung boleh mengambil barangan yang diperlukan secara percuma dan tanpa sebarang pertukaran.
“Selain barangan, sebahagian penyumbang turut menawarkan perkhidmatan secara percuma seperti mengunting rambut, mengurut dan khidmat rundingan profesional,” ujarnya.
Muhammad Salehuddin berkata, pihaknya merancang untuk menganjurkan program berkenaan di Daerah Kuala Nerus pada bulan November depan.
Sementara itu, seorang pengunjung dikenali Ani, 68, gembira melihat dua cucunya ceria dapat membawa pulang anak patung bersaiz besar daripada pasar percuma itu.
“Anak patung di rumah sudah lusuh, hendak beli baru banyak lagi keperluan perlu diutamakan.
“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki, bukan sahaja dapat anak patung pengganti secara percuma, malah turut membawa pulang sekampit beras dan minyak masak,” katanya.