fbpx

Sukma 2022: Anak anggota polis raih emas menembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAKIMI

ANAK anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhammad Hakimi Zulkifli melakukan kejutan apabila meraih pingat emas dalam acara 50m (meter) pistol lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Lapang Sasar Kebangsaan di Subang semalam. 

Pada saingan tersebut, Hakimi sedar tugasnya untuk membutirkan pingat emas pada edisi ke-20 tersebut tampak sukar selepas terpaksa bersaing dengan dua atlet terbaik dari Pahang. 

Meskipun, prestasinya sedikit menurun namun atlet berusia 18 tahun dari Wilayah Persekutuan itu puas selepas berjaya memenangi pingat emas pada penampilan pertamanya di Sukma.

“Saya benar-benar tak jangka dan terkejut dapat raih pingat emas sebab bidikan saya sangat teruk. Lagipun, saya sedar atlet Pahang, Cheah Zen Hong boleh memintas saya.

“Tetapi, sebaliknya berlaku dan syukur saya dapat tunaikan impian untuk meraih kemenangan pada penampilan sulung di Sukma ini.

“Saya ingin berterima kasih keluarga saya terutama ayah saya, Zulkifli Omar yang merupakan jurulatih menembak PDRM. Dia memberi dorongan kepada saya untuk berjaya.

“Tidak lupa buat jurulatih saya, Lana Hon Ambok yang melatih saya di Pusat Latihan Polis (Pulapol) ketika mula-mula menceburi sukan ini sejak berusia 12 tahun,” katanya di sini semalam

Pada saingan tersebut, Hakimi hanya dipisahkan dua mata dengan atlet Pahang, Zen Yong selepas mengumpul 529 mata. Seorang lagi atlet Pahang, Wan Muhammad Syafiq Wan Mustaza terpaksa berpuas hati meraih gangsa dengan mengumpul 526 mata.

Sementara itu, bagi kategori berkumpulan acara sama menyaksikan Pahang mendominasi emas dengan membidik mata keseluruhan 1570 menerusi penembaknya Cheah, Wan Muhammad Syafiq dan Muhammad Adib Abu Hassan.

Tempat kedua menjadi milik Perak yang dibarisi atletnya Megat Muhammad Aliff Daniel, Ilmi Azri Abdul Razak dan Muhammad Daniel Hail yang memperoleh 1544 mata keseluruhan. 

Wilayah Persekutuan pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mengutip 1530 mata menerusi Muhammad Hakimi, Abdul Haikal Abdul Aziz dan Muhammad Amir Safwan Mat Zuki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI