PETALING JAYA – Saingan badminton pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 dijangka kurang seri apabila bekas perseorangan wanita No.1 negara, Goh Jin Wei mengumumkan menarik diri daripada saingan kali ini.
Perkara tersebut diumumkan pengurus pasukan badminton Pulau Pinang, Razlan Rajan Abdullah yang memberitahu bekas juara remaja dunia itu terpaksa mengambil keputusan sedemikian kerana bakal menyertai Kejohanan Antarabangsa Chattisgarsh di India.
Jin Wei juga tidak dapat mengelak situasi tersebut memandangkan kejohanan tersebut berlangsung serentak dengan acara badminton Sukma yang dijadualkan bermula esok sehingga Sabtu ini.
“Kami sudah cuba sedaya upaya termasuk meminta Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Yang Berhormat Soon Lip Chee untuk memujuk Jin Wei, namun dia tetap dengan pendirian (menarik diri).
“Menurut Jin Wei, dia mempunyai komitmen dengan pihak penaja, jadi kami tidak berbuat apa-apa mengenai perkara tersebut. Kami akui keputusan dbuat Jin Wei sangat pahit tetapi kami perlu teruskan perancangan,” katanya.
Ketiadaan Jin Wei pastinya menjadi tamparan hebat buat kontinjen Pulau Mutiara itu memandangkan mereka meletakkan sasaran untuk membawa pulang pingat emas menerusi acara badminton perseorangan wanita.
Justeru, Razlan menjelaskan, mereka terpaksa mengubah sasaran kepada pingat perak atau gangsa dengan harapan kini diletakkan ke atas beregu campuran dan lelaki.
Tambah beliau, Pulau Pinang akan turun sebagai pasukan ‘underdog’ pada temasya itu nanti biarpun turut membariskan beberapa pemain kebangsaan, Lee Shun Yang dan Ong Zhen Yi yang masih segar dengan keuaraan di Terbuka Benin.
“Kami mengharapkan undian esok (hari ini) memihak kepada kami kerana daripada situ kami boleh membuat perancangan untuk edisi kali ini. Walaupun tanpa Jin Wei tetapi saya percaya kami boleh cipta kejutan,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE