TELUK INTAN – Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya karam di perairan Sungai Bernam, Bagan Lipas dekat Hutan Melintang di sini semalam.
Ketua Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, A. Ravi berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 11.55 malam.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, nelayan tempatan dikenali Loo See Yong, 57, itu terjun ke dalam laut bersama dua rakannya selepas bot dinaiki mereka mulai tenggelam.
Katanya, sebuah bot nelayan lain yang berada berhampiran kawasan kejadian sempat menyelamatkan dua lelaki warga Indonesia itu, manakala mangsa pula gagal dikesan.
“Mangsa dipercayai terjatuh pada jarak satu batu nautika dari muara Sungai Bernam.
“Operasi mencari dan menyelamat lelaki itu sedang dijalankan membabitkan 31 pegawai dan anggota daripada bomba, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE