fbpx

K2

Ternak udang kara secara sistematik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD FIRDAUS menunjukkan udang kara spesies Cherax quadricarinatus yang berasal dari Australia.

SIAPA pun yang melangkah masuk ke kolam penternakan udang Saudagar Farm berhampiran Taman Jelatek, Alor Setar, Kedah pasti berasa kagum dengan persekitaran bersih dan sistematik yang diterapkan di situ.

Semuanya adalah hasil kerajinan dan keazaman tinggi bapa kepada empat anak, Muhammad Firdaus Osman, 36, yang tidak jemu-jemu menggali ilmu, selain memanfaatkan teknologi sepenuhnya dalam memastikan penternakan udang kara air tawar spesies Cherax quadricarinatus diusahakannya berjalan lancar.

Menurut Muhammad Firdaus, sejak mula menceburi bidang tersebut kira-kira tiga tahun lalu, dia terlebih dahulu mengkaji masalah-masalah yang sering dihadapi penternak udang jenis lain.

“Antara masalah yang sering dihadapi adalah kematian serta penyakit.

“Selain itu antara perkara yang banyak membelenggu penternak udang adalah keterhadan ruang serta daya tahan jenis udang tertentu yang memerlukan oksigen tinggi,” katanya ketika ditemui di Alor Setar baru-baru ini.

 

SEBAHAGIAN daripada 24 kolam ternakan udang kara Muhammad Firdaus yang mengamalkan penternakan kompak.

 

Justeru katanya, dia telah melaksanakan kajian sendiri dan memilih menternak udang kara air tawar yang berasal dari Australia itu kerana udang itu memiliki ketahanan tinggi sebagai alternatif jenis-jenis udang lain yang biasa diternak di negara ini.

“Untuk menyelesaikan masalah penyakit, saya melakukan pembenihan sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain. Alhamdulillah masalah itu berjaya diatasi.

“Bagi mengatasi masalah ruang pula, saya mengamalkan penternakan kompak dan melakukan inovasi penternakan secara bertingkat yang mana kaedah itu membantu saya menambah hasil kepada tiga kali ganda berbanding mengamalkan penternakan konvensional dengan keluasan sama,” katanya.

Dikawal telefon pintar

Mengulas lanjut katanya, sistem pertanian pintar yang diterapkannya banyak membantu dalam menjimatkan kos operasi serta memberi nilai tambah terhadap aspek keselamatan.

“Di kawasan seluas 297 meter persegi yang memiliki 24 kolam ini, semuanya saya laksanakan sendiri dari A hingga Z, iaitu bermula daripada pembenihan hingga pemasaran.

“Dari segi operasi, memang segalanya berjalan secara automatik. Selain itu, pam air dan pam udara boleh dikawal menggunakan telefon pintar,” katanya yang menternak kira-kira 12,000 ekor udang.

 

HASIL ternakan udang kara Muhammad Firdaus.

 

Ujar Muhammad Firdaus, dia juga mendapat notifikasi di telefon dan jam pintar sebaik saja pintu pagar di kawasan kolamnya itu dibuka.

“Menerusi telefon pintar juga saya boleh memantau kamera litar tertutup untuk mengetahui siapa memasuki kawasan kolam udang tertutup ini,” katanya.

Jelasnya, dia tidak berhenti daripada melakukan inovasi serta meneroka perkara baharu yang turut akan dapat dimanfaatkan penternak-penternak lain.

“Saya sedang menjalinkan kerjasama dengan seorang doktor di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mengkaji sama ada kacang soya mampu mempercepatkan tumbesaran udang kara air tawar ini,” katanya.

Tambah Muhammad Firdaus, udang jenis itu dijual pada harga RM60 hingga RM120 sekilogram bergantung kepada saiz, kualiti dan permintaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI