fbpx

Cuaca lembap di enam negeri sehingga lewat pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca lembap di enam negeri akan berterusan ke lewat pagi nanti.

MetMalaysia dalam laporan cuaca di YouTube berkata, keadaan tersebut melibatkan selatan negeri Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Hujan masih berlaku sejak awal pagi tadi turut melibatkan negeri-negeri di sekitar barat Semenanjung dan keadaan cuaca lembap ini dijangkakan masih boleh berterusan sekurang-kurangnya ke lewat pagi nanti.

“Perlu diingatkan hujan berterusan dalam tempoh lama boleh menyebabkan banjir kilat. Oleh itu orang awam di kawasan terlibat diminta berhati-hati dan peka dengan keadaan cuaca semasa,” katanya di sini hari ini.

Berlainan dengan negeri Sabah dan Sarawak katanya, keadaan ketika ini adalah cerah hampir di semua bahagian negeri terbabit.

“Walau bagaimanapun petang nanti MetMalaysia masih lagi menjangkakan keadaan hujan serta ribut petir berpotensi berlaku hampir di seluruh bahagian melibatkan kedua-dua negeri terbabit.

“Sementara itu, di Semenanjung Malaysia pula diperhatikan keadaan cuaca ketika ini dijangka beransur reda menjelang petang nanti,” katanya.

Katanya, keadaan hujan beserta ribut petir pula masih berpotensi berlaku terutamanya di sekitar negeri-negeri utara dan timur Semenanjung melibatkan pedalaman Selangor pada petang nanti.

“Keadaan angin ketika ini bertiup kencang dari arah barat dengan kelajuan angin boleh mencapai sehingga 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 3.5 meter.

“Oleh itu, MetMalaysia masih lagi mengekalkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama melibatkan kawasan perairan Phuket, timur laut Condore, utara Reef North dan Palawan dijangka berkuat kuasa sehingga 21 September ini.

“Sepanjang tempoh amaran tersebut, keadaan perairan ini adalah berbahaya untuk semua aktiviti bot-bot kecil, sukan dan rekreasi laut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI