BANGI – Temasya Sukan Malaysia (Sukma) menjadi arena membuktikan kejaguhan supaya atlet terbaik diangkat membawa cabaran negara ke pentas lebih tinggi.
Demikian harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap barisan atlet muda pada penganjuran edisi ke-20 Sukma 2022 ketika ini.
Ismail Sabri percaya ramai bintang baharu bakal muncul daripada Sukma 2022 yang kemudiannya membawa Jalur Gemilang memburu kegemilangan demi negara di persada antarabangsa.
“Sukan SEA di Kemboja tahun hadapan sebagai aturan langkah pertama mencetus kehebatan di peringkat tertinggi.
“Cerita kehebatan sebegitu mahu kita teruskan kerana menanti tahun depan juga Sukan Asia di Hangzhou sebagai platform persiapan terbaik mengejar impian emas sulung pada Sukan Olimpik Paris 2024.
“Jangan sesekali leka dan cepat berpuas hati. Semangat membara wajar kita teruskan kerana masih banyak halangan dan rintangan perlu diharungi untuk kita teruskan rentetan kegemilangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan upacara pembukaan temasya Sukma 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebentar tadi.
Dalam masa sama, Ismail Sabri turut memberi jaminan kerajaan akan terus meningkatkan kerancakan arena sukan termasuk memberi sokongan padu terhadap Program Podium dengan peruntukan RM240 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, matlamat penganjuran Sukma tidak pernah tersasar dan sentiasa menjadi medan melahirkan ramai atlet muda untuk mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Sukan harus dilihat sebagai sektor yang berpotensi besar bagi menyumbang kepada pendapatan negara. Industri sukan adalah sumber ekonomi yang perlu diterokai dengan lebih meluas oleh semua pihak, khususnya para atlet,” jelasnya.
Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukma 2022 yang akan berlangsung sehingga 24 September ini selepas Johor tidak dapat menganjurkannya pada 2020 disebabkan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.
Sebanyak 15 kontinjen negeri termasuk Brunei mengambil bahagian dalam 31 jenis sukan yang menawarkan 426 pingat emas secara keseluruhan. – KOSMO! ONLINE