LONDON – Pejabat Perdana Menteri Britain mengakui terdapat beberapa aturan pengangkutan berbeza buat pemimpin dunia yang bakal hadir pada Istiadat Pengebumian Negara Ratu Elizabeth II 19 September ini, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Terdapat dakwaan daripada sumber rapat kerajaan yang mengatakan bahawa Maharaja Jepun, Naruhito dan Maharani Masuko antara ketua negara yang terpaksa menaiki bas menuju ke lokasi pengebumian.
Baginda berdua dijangka disertai ketua kerajaan lain seperti Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, Emmanuel Macron dari Perancis, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Jair Bolsonaro yang merupakan Presiden Brazil.
Laman web itu melaporkan bahawa Raja Philippe dan Ratu Mathilde (Belgium), Raja Felipe dan Ratu Letizia (Sepanyol), Raja Carl XVI Gustaf dan Ratu Silvia (Sweden) serta Raja Belanda Willem-Alexander dan Ratu Maxima juga akan menaiki bas ulang-alik semasa majlis tersebut.
Menurutnya, beberapa kedutaan telah melakukan usaha, namun gagal untuk meminta pengecualian daripada Pejabat Luar Negara.
Jurucakap Perdana Menteri Britain, Liz Truss memberi jawapan selamat apabila ditanya mengenai perkara tersebut.
“Sesetengah pengaturan akan berbeza bergantung pada keperluan pemimpin yang berbeza, jadi saya tidak akan membuat spekulasi.
“Susunan akan berbeza-beza bergantung pada keperluan dan perbincangan dengan pemimpin dan pasukan mereka,” kata jurucakap itu.
Perjalanan Naruhito ke London ditetapkan sebagai lawatan ke luar negara pertama baginda sejak menaiki takhta pada Mei 2019.
Secara tradisi, Maharaja Jepun tidak akan menghadiri mana-mana majlis pengebumian, sama ada di dalam atau luar negara, kerana agama Shinto menganggap kematian adalah perkara yang tidak suci.
Namun, pegawai Jepun telah menekankan hubungan rapat antara keluarga diraja Britain dan Jepun sejak Naruhito melanjutkan pengajian di Universiti Oxford pada tahun 1980-an dan kerap hadir ke majlis rasmi monarki tersebut. – Agensi