IPOH – Bantuan segera yang dihulurkan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew melibatkan penyediaan lebih 20 bas kepada mahasiswa-mahasiswa institut pengajian tinggi pulang ke kampung masing-masing sepatutnya dibenarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, bantuan tersebut sepatutnya dipermudahkan pihak pengurusan universiti memandangkan ia sangat memberi manfaat kepada mahasiswa yang memerlukannya ketika itu.
“Pada pandangan peribadi saya, penyediaan bantuan lebih 20 bas untuk pulang ke kampung itu sepatutnya dibenarkan kerana ramai mahasiswa yang akan dapat manfaat daripadanya.
“Jika dilihat, kos untuk menyewa lebih 20 bas itu pun sudah besar. Jadi kalau ada inisiatif daripada individu atau syarikat yang nak membantu itu sepatutnya dipermudahkan urusannya,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Tambah Razman, kerajaan negeri juga perlu mengambil masa untuk menyalurkan bantuan kepada mahasiswa yang terlibat memandangkan ia melibatkan dana yang besar selain perlu mengumpul data mahasiswa yang benar-benar terkesan. -K! ONLINE