PETALING JAYA – Harga getah asli tidak mempengaruhi harga tayar kenderaan secara terus meskipun harga komoditi itu kini menjunam ke paras RM2.30 sekilogram.
Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr. Zairossani Mohd. Nor menjelaskan, kenaikan harga tayar di luar kawalan LGM meskipun harga getah asli jatuh ketika ini.
“Kita tidak boleh kaitkan harga getah asli dengan tayar kenderaan kerana yang menentukannya harga tayar adalah syarikat pengeluar tayar itu sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! Rabu lalu mengenai harga tayar yang sudah mengalami kenaikan antara tiga hingga enam kali tahun ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kenaikan harga tayar turut melibatkan kos yang lain.
Berita berkaitan: Harga tayar kereta makin melambung
“Getah asli sebahagian sahaja dalam pembuatan tayar, getah yang diguna pakai sewaktu buat tayar hanya 10 ke 15 peratus sahaja, manakala tayar bas dan lori 20 ke 30 peratus dan lain adalah bukan berkaitan getah.
“Untuk mengatakan harga tayar naik disebabkan getah adalah tidak adil, perlu kira kos logistik, upah pekerja dan bahan yang lain juga. Kami juga menghadapi kenaikan harga dari sudut berkenaan,” ujarnya.
Berita berkaitan: Kos naik, terpaksa guna tayar terpakai
Ujar beliau, selain itu antara faktornya adalah China pengguna terbesar getah masih berada di dalam tempoh ‘lockdown’.
“Aktiviti pengilangan di China pada tahap yang rendah membuatkan permintaan getah menurun. Ini termasuk negara Eropah yang kini bergolak. Setakat ini, harga getah turun naik.
Untuk rekod, pengeluaran getah asli meningkat 21.2 peratus pada Julai 2022 (36,006 tan metrik) berbanding pada Jun 2022 (31,369 tan metrik), perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluarannya menurun 21.8 peratus (Julai 2021: 48,610 tan metrik).
Eksport getah asli Malaysia berjumlah 53,771 tan metrik pada Julai 2022 menurun 8.4 peratus berbanding Jun 2022 (58,685 tan metrik) dan China terus menjadi destinasi utama berjumlah 48.1 peratus daripada jumlah keseluruhan.