KONTINJEN Selangor nyata bertuah kerana memiliki ‘budak nakal’, Muhammad Aliff Aiman Mohd. Hassri yang menghadiahkan pingat emas menerusi acara 50 meter compound individu lelaki Sukan Malaysia (Sukma) di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.
Pada saingan tersebut, Muhammad Aliff merekodkan 348 mata di set pertama sebelum tampil lebih baik di set kedua dengan catatan 349 mata.
Pemanah dari Semenyih, Selangor itu mengakui cukup bertuah apabila orang sekelilingnya bersikap sabar melayan kerenah dan sikapnya sepanjang tempoh persiapan.
“Saya jenis yang nakal, degil, sering ponteng latihan, bersikap ego kerana saya mahu berlatih di tempat sendiri. Saya mahu berlatih sendiri di Semenyih, manakala latihan pasukan di Kajang.
“Mereka (ibu bapa) faham dan masih bersabar dengan saya, begitu juga dengan pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) serta persatuan. Tetapi, lepas fikir balik, ini adalah demi pasukan, jadi saya perlu buat kerja bersama-sama,” katanya.
Pingat perak dimenangi wakil Terengganu, Mohamad Syafiq Md Ariffin dan Nik Ahmad Danial Mohd Kamarolzaman (Selangor).
Mengulas lanjut, jika namanya tidak tersenarai dalam kontinjen Selangor kali ini, Muhammad Aliff akui ketika ini beliau mungkin sedang bekerja sebagai jurulatih kecergasan.
“Saya masih tidak berpuas hati dengan prestasi saya, mungkin (gagal serlahkan potensi) disebabkan mahu mengejar catatan terbaik peribadi (355 mata).
“Dengan kemenangan ini, kalau boleh saya berharap nak berada dalam skuad kebangsaan dan mahu cuba ‘pegang’ Asia dan berada di kedudukan terbaik dalam ranking dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE