fbpx

Mummy berangan mahu anak lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAS IDAYU sebak saat sah bergelar isteri kepada Sufian.

KELMARIN merupakan hari terindah buat penyanyi dangdut bertaraf legenda, Mas Idayu apabila selamat bergelar isteri buat kali kedua.

Selamat dinikahkan dan diwalikan bapa kandungnya, tepat pukul 10.40 pagi Jumaat lalu, air mata Mas Idayu yang lebih mesra disapa Mummy tidak henti-henti mengalir tanda syukur.

Berpeluang menghadiri majlis ijab kabul kedua pasangan mempelai sama cocok itu, Mas Idayu dan suami, Muhammad Sufian Che Isa, 51, manis dan dan saling tersenyum antara satu sama lain saat berada di pelaminan.

Ujar Mas Idayu, apa yang membuatkannya sebak saat ketika lafaz nikah dituturkan suaminya adalah ketika mengenangkan pahit jerih hidup bersendirian selama hampir dua dekad sejak bercerai 2006.

“Alhamdulillah majlis serba singkat ini berjalan lancar pada pagi ini (Jumaat). Kalau ditanya apa yang membuatkan saya sebak adalah bila terkenangkan kembali perjalanan hidup sebelum ini.

“Selepas 17 tahun hidup solo, akhirnya saya dipertemukan dengan lelaki yang akan menjadi imam dalam keluarga selepas ini.

“Saya bersyukur kerana segala perancangan kami dipermudahkan dan terima kasih kepada semua yang mendoakan kebahagiaan kami,” katanya.

Berkongsi mengenai keperibadian suami yang membuatkan pelantun lagu Robek Hatiku itu jatuh cinta sekali gus membuka ruang perasaan, dia mengakui tertarik dengan sifat kelakar yang ada pada lelaki itu.

“Abang Pian (panggilan untuk Sufian) ni, kalau tengok muka memang garang, tetapi sebenarnya sangat kelakar. Kami kenal dah bertahun, kalau bergelak tu selalu sampai nak pecah perut dibuatnya.

“Saya pula jenis suka lelaki kelakar dan pandai melawak, tetapi tidak pula bertemu jodoh dengan pelawak,” katanya berseloroh.

Timang anak

Tidak keterlaluan apatah lagi terkejut dengan tebakan mengenai zuriat, wanita yang mesra disapa Mummy itu meluahkan, sudah lama berhasrat untuk menimang cahaya mata lelaki, namun enggan meletakkan harapan tinggi apatah lagi usianya kini sudah mencecah 50 tahun.

Ujar wanita kelahiran Kota Tinggi, Johor itu lagi, suaminya yang juga penerbit eksekutif sebuah syarikat televisyen popular negara tidak menghalang mahupun menolak perkara tersebut.

“Jujur kata, sebenarnya dari dulu saya memang idamkan nak anak lelaki tetapi tiada rezeki untuk ke arah itu.

“Saya sendiri sudah berjumpa doktor dan mereka kata saya tiada masalah kesihatan dan mampu untuk hamil lagi, cuma sedikit risiko ketika usia sudah mencecah separuh abad ini.

“Suami pun tiada masalah mengenai perancangan dan ‘angan-angan’ saya itu. Sekarang ini, apa yang penting, saya dan suami cuma nak hidup bahagia sebagai satu keluarga,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan bulan madu, Mas Idayu berkata, dia menyerahkan semuanya kepada suami untuk pilih mana-mana destinasi.

“Insya-Allah untuk itu, kita akan fikir nanti dan biar suami tentukan. Kami pun tidak akan pergi berdua saja dan akan bawa keluarga bersama.

“Apa yang penting, kami akan ambil cuti bersama selama dua minggu dan betul-betul gunakan peluang yang ada itu sebaik mungkin untuk habiskan masa bersama,” ujarnya.

Mas Idayu mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai sembilan tahun kemudian.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Nur Dayini Asyiqa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI