fbpx

Sanggup bayar RM7,000 demi miliki kad UNHCR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Dzaimee (berdiri dua dari kiri) bersama sebahagian daripada pekerja asing yang ditahan untuk diperiksa dalam satu serbuan oleh JIM Pulau Pinang di Tasek Gelugor, di sini malam tadi. IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Sanggup mengeluarkan belanja yang tinggi hingga mencecah RM7,000 untuk diserahkan kepada ejen demi mendapatkan sekeping kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

Itu yang dilakukan oleh sebahagian etnik Rohingya yang ditahan dalam satu operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri berhampiran sebuah tapak projek perumahan, di Tasek Gelugor di sini, malam tadi.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sehubungan itu juga, isu tersebut akan dibawa ke peringkat jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk disiasat dan diteliti secara lebih mendalam sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Saya sempat temubual mereka (pemegang kad UNHCR warga Rohingya) malam ini (ketika operasi) dan mereka membuat pengakuan masuk ke Malaysia melalui sempadan-sempadan negara iaitu Kedah dan Kelantan dari Thailand, malah mereka mengaku ia (masuk ke Malaysia) juga diuruskan oleh ejen-ejen yang tertentu.

“Selain itu, mereka turut mengakui bahawa ejen-ejen tersebut bertanggungjawab menguruskan perjalanan mereka ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur untuk proses mendapatkan kad berkenaan,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Mengulas mengenai operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) itu pula, Khairul Dzaimee berkata, seramai 36 pekerja asing telah diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 25 daripadanya dikesan masuk ke negara ini tanpa memiliki dokumen yang sah, tinggal lebih masa selain mempunyai dokumen meragukan khususnya pemegang kad UNHCR yang dipercayai tidak tulen.

Menurutnya, daripada 25 orang yang telah ditahan itu, 10 daripadanya merupakan warga Bangladesh, lapan warga Indonesia seorang Nepal serta enam warga Myanmar termasuk seorang wanita.

“Kesemua mereka kemudian dibawa ke pejabat Imigresen negeri untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama,” katanya yang memberitahu, operasi tersebut bermula kira-kira pukul 11.15 malam.

Dalam pada itu, kata beliau, sebanyak 261 operasi memburu PATI secara keseluruhannya telah berjaya dilaksanakan oleh Imigresen negeri sepanjang tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI