PETALING JAYA – Hampir kesemua negeri di Semenanjung menunjukkan keadaan cuaca cerah pagi ini kecuali di sekitar kawasan barat Johor dan Selangor.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam laporan cuacanya di YouTube berkata, paparan gema radar ketika ini menunjukkan hujan dan ribut petir sedang berlaku di perairan selat Melaka dan ia sudah memasuki satu ke dua tempat di perairan pantai barat kedua-dua negeri tersebut.
“Keadaan cuaca mendung dijangkakan berlaku di perairan negeri Selangor ketika ini dan akan berlarutan sehingga sedikit masa sahaja lagi.
“Paparan carta angin ketika ini turut dilihat terdapat penumpuan angin di sekitar bahagian Selat Melaka selatan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, keadaan cuaca di sebelah Malaysia Timur pula dilihat tiada hujan di negeri Sabah dan Sarawak pagi ini.
“Pada sebelah petang pula MetMalaysia menjangkakan keadaan hujan masih berpotensi untuk berlaku di bahagian pedalaman terutamanya melibatkan kawasan di sekitar negeri Perak, Pahang serta Kelantan.
“Hujan turut dijangka boleh berlaku sehingga ke awal malam di bahagian pantai timur negeri Pahang dan juga pantai timur negeri Pahang dan juga Johor,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, bagi negeri Sabah dan Sarawak pula, dijangkakan untuk keadaan ribut petir masih lagi berpotensi berlaku melibatkan di hampir keseluruhan negeri Sarawak terutamanya di bahagian barat negeri Sarawak dan juga di sekitar Limbang.
“Manakala di negeri Sabah pula, lebih tertumpu di bahagian pedalaman negeri Sabah.
“Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi kategori pertama melibatkan kawasan perkapalan di Condore, Reef North dan Palawan,” ujarnya.
Katanya amaran itu berkuatkuasa sehingga hari ini dan keadaan tersebut amat berbahaya bagi kesemua aktiviti laut terutamanya bot-bot kecil, feri dan juga sebarang aktiviti menangkap ikan. – KOSMO! ONLINE