BEIJING – Satu kebakaran besar berlaku di sebuah bangunan pencakar langit setinggi 42 tingkat yang terletak di wilayah Hunan, China, lapor stesen penyiaran CNN semalam.
Pihak berkuasa bandar Changsha memaklumkan, api berjaya dipadamkan pukul 4.20 petang (waktu tempatan) semalam.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.
Jabatan bomba Hunan berkata dalam satu kenyataan menerusi akaun Weibo rasminya bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 3.48 petang (waktu tempatan).
Api dan asap dirakam menjulang ke udara dari bangunan pejabat setinggi 218 meter itu yang merupakan Bangunan Telekom China.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Changsha menghantar 36 jentera bomba dan 280 anggota bomba ke tempat kejadian.
Berdasarkan siasatan awal, pihak berkuasa mendapati dinding luar bangunan itu terlebih dahulu terbakar sebelum api merebak ke seluruh bangunan.
Rakaman video yang tersebar di media sosial semalam menunjukkan api menyambar dan marak membakar bangunan pencakar langit itu, demikian menurut jabatan bomba. – Agensi