fbpx

Penunggang jet ski hilang di perairan Pulau Talang-Talang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUCHING – Hasrat seorang lelaki menguji jet ski bersama rakannya bertukar detik cemas apabila rakannya itu dilaporkan hilang di perairan Pulau Talang-Talang, Sematan, kira-kira 100 kilometer (km) dari sini, semalam.

Mangsa, Lee Chong Loong, umur belum dapat dikenal pasti hanya disedari hilang oleh rakannya ketika mereka hendak kembali ke jeti.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan dari Balai Polis Sematan berhubung kejadian itu pada pukul 12.20 tengah malam tadi.

“Mangsa bersama seorang rakan dilaporkan turun ke laut melalui Jeti Pak Amit di Santubong dengan menaiki dua jet ski yang berasingan.

“Pada mulanya, mereka dikatakan menuju ke Pulau Satang dan mengelilingi kawasan pulau itu sambil memancing.

“Rakan mangsa dikatakan berusaha mencari lelaki itu hingga kira-kira pukul 7.30 malam, namun gagal sebelum membuat laporan di Balai Polis Sematan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, rakan mangsa memaklumkan keadaan cuaca baik ketika mereka menaiki jet ski dan kemudian meneruskan perjalanan ke Telok Melano.

“Selepas itu, mereka dikatakan menghala ke arah utara, kira-kira tiga batu nautika dari perairan Telok Melano, menuju ke Pulau Talang-Talang.

“Rakan mangsa memaklumkan, jarak antara mereka ketika menunggang jet ski itu agak jauh, iaitu kira-kira satu batu nautika antara satu sama lain. Rakannya itu dikatakan mula menyedari mangsa tidak kelihatan ketika mereka bergerak dari Pulau Talang-Talang untuk balik semula ke jeti,” katanya.

Susulan kejadian itu, ujarnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) sebaik saja menerima laporan, namun operasi ditangguhkan pada jam 1.30 pagi tadi.

Pencarian diteruskan pada pagi ini bersama beberapa agensi penyelamat yang lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI