JAKARTA – Seorang ustazah bernama Taslimah meninggal dunia ketika memimpin bacaan tahlil dan khatam al-Quran di Masjid As Syafiiyah, Jalan Al Barkah, Tebet, Jakarta Selatan, Indonesia semalam.
Kejadian tersebut sempat terakam dalam video dan menjadi tular di media sosial ketika ini.
Penjaga Masjid Al Barkah As Syafiiyah, Alwy Rasyid, mengesahkan peristiwa sedih itu dan berkata, ketika kejadian tersebut, Taslimah dilihat membaca Surah al-Baqarah ayat lima hingga enam.
Semasa membaca ayat keenam, suara Taslimah kedengaran lemah.
Arwah yang sedang duduk tiba-tiba rebah sebelum jemaah wanita lain segera membantunya.
“Taslimah meninggal pagi Khamis (semalam) pada pukul 7.30 pagi. Arwah bertugas membaca al-Quran dan tahlil lengkap. Ketika membaca sepotong ayat, suaranya mula lemah tetapi dia terus mencuba,” kata Alwy kepada CNNIndonesia.com.
Alwy memberitahu, Taslimah merupakan salah seorang ustazah yang sering ditugaskan memimpin bacaan doa dan mengaji di masjid.
Dia menyifatkan Taslimah sebagai individu yang pendiam dan sopan. -KOSMO! ONLINE.