SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan agar bendera Negeri Sembilan dikibarkan separuh tiang pada hari Isnin 19 September ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik berkata, ia bagi menzahirkan penghormatan baginda kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 9 September lalu.
“Titah tersebut juga sebagai tanda menghormati kemangkatan Baginda Ratu di Istana Balmoral, Scotland selepas 70 tahun menduduki takhta yang merupakan monarki paling lama bertakhta dalam sejarah United Kingdom.
“Sehubungan itu, kerajaan Negeri Sembilan menjunjung titah dan mengarahkan semua jabatan dan agensi di negeri ini agar mengibarkan bendera Negeri Sembilan separuh tiang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE