BANDAR RAYA NEW YORK – Berjuta-juta penduduk dunia berdepan risiko kebuluran yang berpunca daripada krisis makanan akibat konflik bersenjata, demikian menurut laporan yang dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut akhbar Saudi Gazette, pada 24 Mei 2018, Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menyeru Setiausaha Agung PBB untuk melaporkan segera kepada OCHA sekiranya terdapat risiko kebuluran akibat konflik bersenjata.
Risiko berkenaan kini menjadi kenyataan dengan konflik bersenjata dan keganasan merupakan pemacu utama krisis makanan di Sudan Selatan, Yemen, timur laut Nigeria dan Ethiopia.
Ketua Setiausaha Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Martin Griffiths berkata, konflik bersenjata selama tujuh tahun di Yemen telah mengakibatkan kira-kira 19 juta penduduk atau 60 peratus populasinya mengalami krisis makanan akut.
Menurut Griffiths, di Sudan Selatan, 63 peratus populasi negara itu atau 7.7 juta orang dijangka berdepan krisis makanan akut tahun ini.
“Penilaian kami meramalkan 87,000 orang dengan kebanyakan mereka di negeri Jonglei dan Wilayah Pentadbiran Greater Pibor akan berdepan malapetaka (krisis makanan),” katanya.
Bagi situasi di Ethiopia pula, Griffiths berkata, lebih 13 juta orang memerlukan bantuan makanan bagi menyelamatkan nyawa di seluruh wilayah Afar, Amhara dan Tigray.
“Pada Jun lalu, 87 peratus penduduk yang disoal selidik di Tigray mengalami krisis keselamatan makanan dengan lebih separuh daripada mereka dalam keadaan teruk,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Organisasi Makanan dan Pertanian PBB, Maximo Torero mengesahkan bahawa masalah kelaparan meningkat secara signifikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang diburukkan oleh beberapa faktor.
Ia termasuk konflik, perubahan iklim dan peningkatan dalam ketidakadilan yang semakin buruk sejak pandemik Covid-19.
“Kesemua faktor ini diburukkan oleh lonjakan harga makanan. Peperangan memberikan kesan langsung kepada keselamatan makanan dengan mengurangkan penghasilan makanan, memusnahkan tanaman dan menyekat akses makanan.
“Bagi jangka masa panjang, konflik membawa kepada kehilangan nyawa, gangguan rantaian bekalan, kehilangan tempat tinggal secara meluas dan peningkatan tekanan terhadap sumber makanan,” kata Torero. – Agensi