SAMARKAND, Uzbekistan – Saluran paip Russia ke China akan menggantikan sambungan gas Nord Stream 2 ke Eropah yang terbengkalai akibat konflik Ukraine, kata Menteri Tenaga Moscow, Alexander Novak.
Ditanya dalam temu bual bersama saluran televisyen tempatan, Rossiya-1 kelmarin sama ada Russia akan menggantikan Nord Stream 2 dengan saluran paip berkenaan yang dinamakan Asian Force Siberia 2, Novak berkata: “Ya.”
Terdahulu pada hari sama, Novak yang berada di Uzbekistan berkata, Russia dan China tidak lama lagi akan menandatangani perjanjian mengenai penghantaran ‘50 bilion meter padu gas’ setahun kepada Beijing melalui saluran paip Asian Force 2 di Siberia.
Jumlah itu hampir mewakili kapasiti maksimum Nord Stream 1 iaitu 55 bilion meter padu yang telah ditutup sejak 2 September lalu.
Satu pertiga daripada bekalan gas Mocow kepada Kesatuan Eropah(EU) adalah melalui saluran paip strategik Nord Stream 1 yang menghubungkan Russia dan Jerman.
Asian Force Siberia 2 akan memacu ekonomi China yang amat memerlukan tenaga, sebahagiannya melalui Mongolia.
Pembinaan saluran paip gas itu akan dimulakan pada 2024.
Ia akan menggantikan projek Nord Stream 2 yang sudah lama disokong Jerman tetapi dibangkang Washington dan dibatalkan oleh Barat sejak Russia mula menyerang Ukraine pada akhir Februari lalu.
Eksport gas Rusia ke EU ‘akan berkurang sekitar 50 bilion meter padu’ pada 2022, kata Novak.
Pada masa yang sama, menteri Russia itu berkata, syarikat Gazprom selaku , pengendali saluran paip Force of Siberia 1 yang menghubungkan telaga Chaiandina ke timur laut China sejak akhir 2019, akan ‘meningkatkan penghantaran’ untuk mencapai ‘20 bilion meter padu gas’ setiap tahun.
Penyambungan telaga gas Kovytka, berhampiran Tasik Baikal, ke saluran paip itu pada awal 2023 akan membantu mencapai peningkatan tersebut.
Menjelang 2025, apabila ia mencapai kapasiti maksimumnya, saluran paip Force of Siberia 1 akan menghasilkan 61 bilion meter padu gas setahun iaitu lebih banyak daripada Nord Stream 1.
Sejumlah 38 bilion meter padu gas akan dihantar ke China di bawah kontrak 2014 yang ditandatangani antara Gazprom dan firma Beijing, CNPC. – AFP