PETALING JAYA – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) terkejut dan menyifatkan pemberian moratorium khas kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bakal memburukkan lagi keadaan.
Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, jika ia adalah penyelesaian terbaik bagi Majlis Pemulihan Negara (MPN), maka cadangan tersebut harus dipersoalkan.
“Kami percaya Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin diberi maklum balas salah. Walaupun ada PMKS menghadapi masalah membayar pinjaman, memanjangkan pinjaman bukanlah jalan keluar yang tepat untuk PMKS.
“Ketika pemulihan ekonomi, banyak PMKS hadapi cabaran berbeza terutamanya masalah buruh. Selesaikan itu dahulu kemudian turunkan kadar cukai untuk PMKS bagi dua tahun akan datang dan pertimbang untuk beri potongan perbelanjaan modal.
“Banyak PMKS khuatir mahu melabur semula untuk kembangkan perniagaan kerana situasi politik dan ekonomi yang tidak menentu secara berterusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya, Samenta menjangkakan PMKS dapat pulih ke tahap prapandemik menjelang hujung 2023 atau pertengahan 2024.
“Samenta merupakan persatuan PMKS yang tertua di Malaysia dan diwakili 3,000 ahli. Kami lihat ramai di antara PMKS kembali pulih selepas pembukaan semula sempadan.
“Pada 2021 contohnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam kalangan PMKS naik 1 peratus berbanding 4.4 peratus dalam kalangan syarikat lebih besar. Jelas, PMKS akan mengambil lebih masa untuk stabil,” katanya.
Tambahnya, dengan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR), pihaknya juga memerlukan mekanisme terbaik untuk menurunkan kos pembiayaan bagi PMKS.
“Ia termasuk penyediaan pinjaman mudah, mempercepatkan proses kelulusan dan pengeluaran serta mewajibkan bank bekerjasama dengan PMKS yang bermasalah untuk menstruktur semula pinjaman mereka.
“Isunya adalah akses, bukan pembayaran balik. Banyak PMKS yang berdaya maju sedang bergelut untuk mendapatkan pinjaman disebabkan rekod prestasi yang lemah sejak dua tahun lalu,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengusulkan cadangan supaya PMKS diberi moratorium khas berikutan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik Covid-19 dan ditambah dengan peningkatan OPR.