fbpx

Kikis sikap jadikan Hari Malaysia sekadar cuti umum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAMBUTAN Hari Malaysia perlu dirai secara besar-besaran setiap tahun. - Gambar hiasan
MOHD. YUNUS YAKKUB,
WAKIL KOSMO! SELANGOR

USAI merdeka, kita menyambut pula Hari Malaysia ke-59 semalam yang merupakan penya­tuan negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Namun, aura sambutan hari pembentukan negara bertuah ini sangat sepi dan lesu berbanding hari kemerdekaan dalam kala­ngan rakyat kecuali bagi Sabah dan Sarawak.

Pembentukan Malaysia melalui proses merumitkan selain berdepan pelbagai cabaran termasuk tentangan daripada Indonesia dan Filipina sebelum membawa kepada majoriti sokongan rakyat Sabah dan Sarawak untuk penubuhan Malaysia.

Justeru, tanpa penghayatan dan pemahaman sejarah kemerdekaan negara yang telah membawa kepada pembentukan Malaysia tidak salah dikatakan sambutan Hari Malaysia hanya sekadar ‘hari cuti umum’.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir berkata, untuk sekian lamanya, sambutan yang diutamakan adalah Hari Kebangsaan iaitu apabila tanah Semenanjung Melayu memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, manakala Hari Malaysia hanya diisytiharkan sebagai cuti umum sahaja.

Katanya, Hari Malaysia lebih diraikan di Sabah dan Sarawak sedangkan sebenarnya Malaysia dibentuk hasil gabungan Semenanjung Melayu, Singapura ( keluar pada tahun 1965), Sabah dan Sarawak.

“Dalam buku teks sejarah juga tidak banyak tonjolkan dan lebih diutamakan adalah kemer­dekaan tanah Melayu. Hari Malaysia sepatutnya diraikan sama penting Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan dan bukan sebaliknya sehingga menjadikan sambutan Hari Malaysia adalah muram.

“Jadi, untuk pertama kalinya dalam sejarah Hari Malaysia disambut di peringkat nasional pada tahun ini di Melaka. Kita mengharapkan selepas ini sambutannya dilakukan secara bergilir-gilir oleh semua negeri termasuk pada tahun depan di Kuala Lumpur,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau memberitahu, integrasi nasional perlu disemarakkan kembali dengan Laut China Selatan tidak harus menjadi penghambat dalam mewujudkan kesatuan, perpaduan dan kemantapan pembinaan sebuah negara bangsa di Malaysia.

“Kita harus menangani soal kekecewaan rakyat di kedua-dua negeri ini (Sabah dan Sarawak) terutama merapatkan jurang sosioekonomi, infrastruktur dan sebagai supaya penduduk di ne­geri itu tidak merasakan mereka tidak dilayan dengan adil dan hak mereka terhakis.

“Ini sedang dilakukan kerajaan menerusi majlis dan jawatankuasa untuk menangani hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Eliezer Nevall Anthony turut menyokong perlunya penggiliran sambutan Hari Malaysia supaya seluruh rakyat negara bertuah ini merasai bahawa 16 September itu adalah tarikh keramat selain Hari Kebangsaan.

“Justeru, tidak timbul hanya penduduk Sabah dan Sarawak sahaja meraikan Hari Malaysia walhal kita semua adalah rakyat negara ini.

“Kita harus bersatu menerusi pemahaman dan ikatan patriotisme yang kuat kepada negara,” jelasnya.

Presiden Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya, Lim San Shien menegaskan, semua rakyat negara ini berperanan sebagai Duta Perpaduan dalam mengeratkan dan memperkukuhkan hubungan semua kaum di negara ini.

“Kita kena menghayati Rukun Negara dengan tujuan utamanya iaitu membentuk perpaduan yang kukuh.

­“Prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu adalah kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia,” ­kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI