BANGKOK – Seorang lelaki di wilayah Trang, selatan Thailand mengatakan bahawa muzik ‘country’ Thai atau ‘Luk Thung’ adalah kunci kejayaan untuk ladang ternakan katak, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Katak ternakan bukan sahaja menyukai genre muzik itu tetapi menjadikan ia lebih sihat, kuat dan membesar lebih cepat, kata lelaki berkenaan.
Rit Lomkong, 72, telah menternak katak selama lima tahun dan mendakwa bahawa amfibia itu tidak boleh hidup tanpa Luk Thung. Katak-katak itu akan menjadi agresif apabila dia mematikan muzik.
Tanpa muzik ‘country’, katak-katak akan melompat dan keluar dari kolam, menyerang antara satu sama lain dan memakan sesama sendiri, katanya.
Sebaik sahaja muzik itu dimainkan, katak-katak peliharaannya akan duduk diam, menutup mata dan tertidur. Muzik tersebut didakwa menenangkan haiwan itu.
Menurut Rit, penternak katak mampu menjana wang yang banyak. Dia menternak katak selama tiga hingga empat bulan sebelum menjualnnya. Rit memperoleh pendapatan berpuluh-puluh ribu baht daripada setiap generasi katak yang diternak di dalam 10 kolam ternakannya.
Kerja itu mudah bagi seorang lelaki tua kerana Rit tidak perlu meninggalkan rumah untuk menjual katak. Ramai pelanggan datang ke rumahnya untuk membeli katak ternakan.
Lelaki warga emas itu sudah menggunakan 10 radio untuk menternak katak dan baru-baru ini membeli lebih banyak peranti untuk diganti sekiranya rosak.
Katak bakar adalah hidangan popular di seluruh Thailand. Bagaimanapun, keselamatan memakan daging katak masih diperdebatkan. – AGENSI